LOS ANGELES – Lapan terkorban apabila sebuah pesawat pengebom B-52 milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) terhempas dan terbakar sejurus berlepas dari sebuah pangkalan tentera udara di California pada Isnin.
Pesawat pengebom berat itu dilaporkan sedang menjalankan misi ujian rutin dengan membawa gabungan anggota tentera, pegawai kerajaan serta kontraktor awam sebelum terhempas dalam letupan besar di Pangkalan Tentera Udara Edwards, kira-kira 95 kilometer di utara Los Angeles.
Rakaman selepas kejadian menunjukkan kawasan tanah yang hangus sepenuhnya, dengan hampir tiada serpihan besar pesawat yang dapat dikenalpasti, manakala insiden itu disifatkan sebagai “tidak memungkinkan untuk sebarang mangsa terselamat.”
“Pangkalan Tentera Udara Edwards mengalami satu tragedi besar dan kami kehilangan lapan rakyat Amerika yang hebat,” kata Kolonel James Hayes ketika sidang media.

Menurut beliau, pesawat B-52 Stratofortress itu – pengebom jarak jauh yang digunakan tentera AS sejak 1950-an – sedang melaksanakan penerbangan ujian sebagai sebahagian daripada proses pemodenan sistem radar.
“Pesawat berlepas dan sejurus selepas itu terhempas serta terbakar. Pasukan kecemasan bertindak pantas ke lokasi, namun kejadian itu disahkan tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, selepas meneliti rakaman kejadian, kemalangan tersebut diklasifikasikan sebagai insiden yang tidak boleh dipulihkan dan tiada mangsa yang berkemungkinan selamat.
Punca kejadian masih belum dikenal pasti dan siasatan keselamatan telah dimulakan segera.
Insiden berlaku sekitar waktu tengah hari di pangkalan berkenaan, yang merupakan pusat operasi utama tentera AS, dan hanya melibatkan kawasan dalam perimeter pangkalan itu.
Susulan kejadian, lapangan terbang di pangkalan tersebut ditutup sementara dan semua penerbangan yang menuju ke situ dilencongkan ke lokasi lain, menurut kenyataan di media sosial.
Hayes berkata, identiti mangsa tidak akan diumumkan sehingga semua waris dimaklumkan, satu proses yang dijangka mengambil masa sepanjang hari.
Pesawat B-52 Stratofortress merupakan pengebom berat yang mula diterbangkan pada 1954 dan direka bagi operasi ketika era Perang Dingin.
Ia terus dinaik taraf bagi memastikan ia kekal digunakan sehingga kini.
Pesawat bersaiz besar itu mampu membawa pelbagai jenis persenjataan termasuk bom dan peluru berpandu kruis, dengan bentangan sayap sekitar 56meter dan panjang hampir 48 meter.
Kebiasaannya, pesawat ini dikendalikan lima kru utama iaitu komander pesawat, juruterbang, navigator radar, navigator serta pegawai peperangan elektronik.
Dengan jarak operasi sehingga kira-kira 8,800 batu, pesawat itu juga berkeupayaan membawa muatan nuklear.
Tentera AS pernah mengerahkan pesawat ini dalam beberapa konflik termasuk di Vietnam, Teluk, Iraq, Afghanistan dan paling terkini di Iran. – Agensi
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L