KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengecam tindakan seorang pengacara majlis yang menggelar Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebagai “Tok Undang Ke-5” ketika sebuah majlis pelancaran jentera politik di Negeri Sembilan baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan PERKASA, Azrol Mansor menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak sensitif dan menghina Institusi Undang Yang Empat yang menjadi tunjang kepada sistem Adat Perpatih serta lambang kedaulatan warisan Negeri Sembilan.
Menurut beliau, gelaran Tok Undang bukanlah gelaran politik yang boleh digunakan sewenang-wenangnya bagi tujuan meningkatkan imej atau sokongan kepada mana-mana pemimpin parti.
“Institusi Undang Yang Empat mempunyai sejarah, adat dan peranan tersendiri dalam struktur pemerintahan Negeri Sembilan. Mengaitkan seorang ahli politik dengan gelaran tersebut secara sewenang-wenangnya adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
PERKASA turut melahirkan rasa dukacita kerana insiden itu berlaku di hadapan khalayak ramai tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat Negeri Sembilan yang menjunjung tinggi adat dan tradisi warisan negeri tersebut.
Dalam kenyataan sama, PERKASA mengingatkan bahawa penghormatan terhadap institusi Melayu tidak boleh bersifat bermusim dan tidak seharusnya dijadikan alat propaganda politik.
Pertubuhan itu turut memberi amaran bahawa jika perkara sedemikian dibiarkan tanpa teguran, ia berpotensi mewujudkan budaya yang menormalisasikan penghinaan terhadap institusi adat Melayu.
Sehubungan itu, PERKASA mendesak pihak penganjur majlis serta individu yang mengeluarkan kenyataan tersebut tampil memohon maaf secara terbuka kepada Institusi Undang Yang Empat dan seluruh rakyat Negeri Sembilan.
“Institusi warisan bangsa bukan milik mana-mana parti politik, sebaliknya milik seluruh rakyat yang menghargai sejarah, maruah dan kedaulatan tanah air,” katanya.
PERKASA turut menyeru semua pihak, tanpa mengira fahaman politik, agar bersama-sama mempertahankan dan memelihara institusi adat Melayu daripada sebarang bentuk eksploitasi politik.
Menurut Azrol, PERKASA akan terus mempertahankan maruah bangsa serta kedaulatan institusi Melayu daripada sebarang tindakan yang dianggap mempermainkan, mempolitikkan atau menghina institusi berkenaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L