Ketegangan Dalam PN Semakin Ketara, Ada Pemimpin BERSATU Mahu PAS Tinggalkan Gabungan

KUALA LUMPUR – Desas-desus mengenai hubungan yang semakin renggang antara PAS dan BERSATU terus menjadi perhatian apabila sumber dalaman parti yang diasaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu mendakwa terdapat kelompok pemimpin serta ahli parti yang berharap parti yang berslogankan Membangun Bersama Islam itu segera membuat keputusan meninggalkan Perikatan Nasional (PN).

Perkembangan tersebut dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap hala tuju gabungan berkenaan yang didakwa semakin kurang berkesan sejak Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi PN.

Menurut sumber itu, sebahagian pemimpin BERSATU melihat gabungan pembangkang berkenaan kini berdepan masalah kepimpinan dan kesukaran membuat keputusan strategik, sekali gus menjejaskan keupayaannya untuk berfungsi sebagai blok politik yang mantap dan berkesan.

“Sebenarnya semakin ramai dalam BERSATU yang berpendapat PAS perlu membuat keputusan jelas mengenai kedudukannya dalam PN. Jika PAS mahu bergerak secara solo atau menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO, mereka seharusnya berbuat demikian daripada terus berada dalam situasi yang menimbulkan ketidakpastian kepada gabungan.

“Dalam kalangan tertentu, wujud pandangan bahawa sejak Dr. Ahmad Samsuri mengambil alih jawatan Pengerusi PN, gabungan itu menjadi semakin perlahan, kurang efektif dan sukar membuat keputusan penting,” dakwanya.

Sumber berkenaan turut mendakwa, terdapat persepsi dalam kalangan sesetengah ahli BERSATU bahawa struktur kepimpinan PN ketika ini tidak berfungsi secara bebas sepenuhnya, sebaliknya banyak dipengaruhi oleh kepimpinan tertinggi PAS.

Menurutnya, keadaan itu mewujudkan tanggapan beberapa keputusan penting dalam gabungan berkenaan lebih banyak ditentukan oleh kepimpinan PAS berbanding dibincangkan secara kolektif dalam platform rasmi PN.

Dakwaan itu timbul ketika perhatian politik tertumpu kepada pendirian PAS terhadap masa depan kerjasamanya dengan BERSATU.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, parti itu akan membuat keputusan berhubung hubungan politik dengan BERSATU dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat susulan kebimbangan yang disuarakan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS mengenai konflik dan kemelut dalaman yang sedang melanda BERSATU, yang menurut badan tertinggi parti itu berpotensi menjejaskan kekuatan serta kredibiliti PN sebagai gabungan pembangkang utama negara.

Dalam konteks itu, sumber terbabit mendakwa perbincangan mengenai kemungkinan PAS menjarakkan diri daripada BERSATU bukanlah sesuatu yang baharu.

Sebaliknya, menurut beliau, perkara berkenaan telah mula diperkatakan dalam kalangan pemimpin tertentu sejak tahun lalu lagi, termasuk cadangan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional dalam bentuk baharu tanpa melibatkan BERSATU.

“Cadangan supaya PAS kembali bekerjasama dengan UMNO melalui platform MN sebenarnya sudah lama kedengaran. Ia bukan isu yang muncul secara tiba-tiba.

“Malah, sebelum ini pernah timbul pandangan mengenai kemungkinan kerjasama politik dengan individu tertentu dalam BERSATU tanpa membabitkan parti itu secara keseluruhan,” katanya.

Muafakat Nasional yang pernah diwujudkan hasil kerjasama politik antara PAS dan UMNO sebelum ini dianggap antara pakatan politik Melayu-Islam yang berjaya menyatukan kedua-dua parti dalam beberapa pilihan raya.

Bagaimanapun, kerjasama tersebut mula merosot selepas pembentukan PN dan kemudiannya berdepan pelbagai cabaran susulan perubahan landskap politik negara.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber itu mendakwa hubungan antara PAS dan BERSATU semakin tegang sejak kebelakangan ini berikutan beberapa kenyataan terbuka yang dikeluarkan pemimpin PAS terhadap kepimpinan BERSATU.

Menurutnya, kenyataan sedemikian telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli dan pimpinan BERSATU yang melihat tindakan tersebut sebagai serangan terbuka terhadap parti sekutu sendiri.

Beliau mendakwa, sebelum usul supaya PAS menilai semula kerjasama dengan BERSATU dibangkitkan oleh Pemuda PAS Bangi, Abdul Hadi sendiri pernah mengeluarkan kenyataan yang mencadangkan hubungan antara kedua-dua parti dikaji semula.

“Beberapa kenyataan yang dibuat sebelum ini telah menimbulkan persepsi bahawa PAS semakin kritikal terhadap BERSATU.

“Ada dalam kalangan ahli BERSATU yang beranggapan kenyataan-kenyataan tersebut memberi gambaran PAS tidak lagi mempunyai keyakinan penuh terhadap parti itu,” katanya.

Sumber itu turut mendakwa tindakan beberapa pemimpin PAS yang secara terbuka mengkritik Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menambahkan lagi ketegangan antara kedua-dua parti.

Pada masa sama, beliau mendakwa terdapat rasa tidak puas hati dalam kalangan pimpinan BERSATU berhubung dakwaan campur tangan PAS dalam urusan dalaman parti tersebut.

Menurutnya, beberapa rundingan politik yang melibatkan pihak luar juga didakwa pernah dilakukan tanpa dibincangkan terlebih dahulu dalam platform rasmi Majlis Tertinggi PN.

“Antara rungutan yang sering dibangkitkan ialah dakwaan bahawa terdapat perbincangan politik tertentu yang berlaku di luar kerangka rasmi gabungan.

“Keadaan ini menyebabkan ada pihak dalam BERSATU merasakan semangat kebersamaan dalam PN semakin terhakis,” katanya.

Walaupun dakwaan tersebut belum mendapat pengesahan rasmi daripada mana-mana pimpinan tertinggi kedua-dua parti, perkembangan itu memperlihatkan cabaran yang sedang dihadapi PN dalam mengekalkan kesatuan dalaman ketika gabungan berkenaan berusaha memperkukuhkan kedudukannya sebagai blok pembangkang utama negara.

Keputusan yang bakal dibuat PAS berhubung hubungan politiknya dengan BERSATU dijangka menjadi penentu penting kepada masa depan PN, selain berpotensi mengubah landskap kerjasama politik pembangkang menjelang pilihan raya akan datang.

Pemerhati politik berpendapat sebarang perubahan dalam hubungan antara PAS dan BERSATU bukan sahaja memberi kesan kepada kestabilan PN, malah boleh membuka ruang kepada penjajaran semula kuasa politik yang lebih besar melibatkan parti-parti utama Melayu dalam negara.

Buat masa ini, tumpuan tertumpu kepada mesyuarat kepimpinan PAS yang dijangka memberikan gambaran lebih jelas mengenai hala tuju parti itu serta masa depan kerjasama yang telah membentuk PN sejak beberapa tahun lalu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *