Oleh: Abd Ghaffar Daud

RANTAU PANJANG – Masjid Mukim Gual To’ Deh dekat sini, mengadakan majlis agihan daging korban kepada penduduk setempat.
Seramai 400 penduduk layak menerima agihan daging korban yang disampaikan imam tua, imam muda serta Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid bermula jam 12 tengah hari hingga 3 petang semalam.
Imam Tua masjid berkenaan, Aiman Shaari berkata, sebanyak tiga lembu hasil sumbangan seorang dermawan dari Singapura telah diagihkan kepada penduduk dengan setiap mereka menerima sekilogram daging korban.
“Alhamdulillah, proses agihan berjalan lancar hasil kerjasama semua AJK masjid. Sebelum majlis diadakan, seramai 400 penerima yang layak telah diberikan kupon terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui.

Menurut beliau, anak-anak muda kampung turut berganding bahu dalam kerja-kerja melapah lembu korban.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyumbang serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
“Program seperti ini bukan sahaja membantu masyarakat, malah menyemarakkan semangat gotong-royong dalam kalangan anak muda sekali gus mengeratkan silaturahim di antara pihak masjid dan penduduk setempat,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L