Oleh: Hasri Harun

IBADAH korban merupakan antara syiar agung dalam Islam yang sarat dengan makna pengabdian, pengorbanan dan ketaatan mutlak kepada Allah SWT. Setiap kali tibanya Aidiladha, umat Islam di seluruh dunia memperingati sejarah agung pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS yang menjadi simbol ketundukan kepada perintah Allah SWT.
Korban bukan sekadar penyembelihan haiwan, bahkan ia membawa falsafah besar dalam membangunkan jiwa manusia agar tunduk, taat dan patuh kepada Maha Pencipta.
Di sebalik darah yang mengalir dan daging yang diagihkan, tersimpan nilai tarbiah rohani yang mendidik manusia mengenal erti kehambaan sebenar.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran:
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu.” (Surah al-Hajj: 37)
Ayat ini menjelaskan bahawa matlamat utama korban bukanlah pada aspek material semata-mata, tetapi terletak pada nilai ketakwaan dan keikhlasan hati manusia kepada Allah SWT.
Mendidik manusia berkorban
Korban mendidik manusia supaya memahami bahawa segala harta, tenaga dan kehidupan hakikatnya milik Allah SWT. Oleh itu, manusia dituntut untuk bersedia mengorbankan apa sahaja demi mencari keredaan-Nya.
Falsafah korban bermula daripada kisah agung Nabi Ibrahim AS yang menerima perintah Allah SWT melalui mimpi agar menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail AS.
Perintah tersebut amat berat kerana Nabi Ismail AS merupakan anak yang dinantikan sekian lama. Namun, Nabi Ibrahim AS tetap taat tanpa ragu-ragu. Ketaatan itu pula disambut dengan kepatuhan Nabi Ismail AS yang reda menerima ketentuan Allah SWT.
Firman Allah SWT:
“Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya-Allah ayah akan mendapati aku daripada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Saffat: 102)
Dialog antara ayah dan anak ini menggambarkan kemuncak pengabdian seorang hamba kepada Tuhan. Mereka mendahulukan perintah Allah SWT mengatasi perasaan, kasih sayang dan kepentingan diri.
Inilah asas utama falsafah korban iaitu membina jiwa yang sanggup menyerahkan segala-galanya demi mentaati Allah SWT.
Ujian dalam berkorban
Dalam kehidupan moden hari ini, manusia sering diuji dengan kecintaan terhadap dunia, harta benda, pangkat dan nafsu. Ada manusia yang sanggup melanggar hukum Allah demi mengejar kekayaan dan kemewahan.
Ada juga yang mengabaikan tanggungjawab agama kerana terlalu sibuk dengan urusan duniawi. Justeru, ibadah korban hadir sebagai latihan spiritual untuk mendidik manusia agar tidak menjadi hamba kepada dunia.
Mencintai Allah Dari segalanya
Korban mengajar manusia bahawa cinta kepada Allah SWT mesti melebihi cinta kepada makhluk dan harta benda. Pengorbanan harta untuk membeli haiwan korban sebenarnya mendidik jiwa agar tidak terlalu bakhil dan cintakan kekayaan.
Islam menegaskan bahawa harta hanyalah amanah sementara yang mesti dimanfaatkan demi kebajikan masyarakat dan mencari keredaan Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada suatu amalan anak Adam pada hari Nahar yang lebih dicintai Allah selain daripada mengalirkan darah (haiwan korban).” (Riwayat al-Tirmizi)
Hadis ini menunjukkan betapa besarnya nilai ibadah korban di sisi Allah SWT kerana ia lahir daripada keikhlasan dan pengorbanan seorang hamba. Korban menjadi simbol kesediaan manusia untuk memberi dan berkongsi nikmat dengan orang lain.
Menanam Sifat Ihsan dan Solidariti
Selain itu, falsafah korban juga membangunkan sifat ihsan dan solidariti sosial dalam masyarakat. Daging korban diagihkan kepada fakir miskin, jiran tetangga dan masyarakat sekeliling tanpa mengira kedudukan. Hal ini menggambarkan Islam sebagai agama yang menitikberatkan keadilan sosial dan kesejahteraan bersama.
Dalam dunia hari ini yang dipenuhi jurang kaya dan miskin, ibadah korban menjadi lambang kesatuan dan kepedulian terhadap golongan yang memerlukan.
Korban tolak sikap Individualistic
Melalui korban, manusia dididik supaya tidak hidup secara individualistik dan mementingkan diri sendiri. Sebaliknya, Islam mengajar bahawa kebahagiaan sebenar lahir daripada sikap memberi dan berkongsi rezeki. Semangat ini amat penting dalam membina masyarakat penyayang dan harmoni.
Penyucian Jiwa
Di samping itu, korban juga membawa falsafah penyucian jiwa daripada sifat mazmumah seperti sombong, tamak dan ego. Manusia sering merasakan dirinya hebat kerana memiliki kuasa dan kekayaan. Namun, apabila seseorang sanggup berkorban kerana Allah SWT, dia sebenarnya sedang mendidik dirinya menjadi lebih rendah hati dan tunduk kepada kebesaran Tuhan.
Aidiladha mengingatkan manusia bahawa kehidupan ini memerlukan pengorbanan untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Seorang pelajar perlu berkorban masa dan tenaga untuk menuntut ilmu.
Seorang ibu bapa berkorban demi membesarkan anak-anak. Seorang pemimpin pula perlu berkorban demi kesejahteraan rakyat. Semua bentuk pengorbanan ini akan menjadi ibadah apabila dilakukan dengan niat mencari keredaan Allah SWT.
Membentuk Masyarakat
Dalam konteks pembangunan umat, falsafah korban juga penting dalam membentuk masyarakat yang berjiwa besar dan sanggup berjuang demi agama, bangsa dan negara.
Umat Islam tidak akan maju tanpa semangat pengorbanan. Sejarah tamadun Islam membuktikan bahawa kejayaan para sahabat Rasulullah SAW lahir daripada pengorbanan besar mereka mempertahankan agama Allah SWT.
Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA mengorbankan seluruh hartanya demi perjuangan Islam. Saidina Umar al-Khattab RA mengorbankan tenaga dan kepimpinannya demi keadilan umat. Saidina Uthman bin Affan RA pula terkenal dengan sifat dermawan dan pengorbanannya membantu perjuangan Islam.
Semua ini lahir daripada kefahaman bahawa kehidupan dunia hanyalah sementara dan segala yang dimiliki mesti digunakan untuk jalan Allah SWT.
Konsep Tawakal
Falsafah korban turut mengajar manusia tentang konsep tawakal dan keyakinan kepada Allah SWT. Nabi Ibrahim AS tetap melaksanakan perintah Allah walaupun tidak mengetahui hikmah di sebaliknya.
Namun, akhirnya Allah SWT menggantikan Nabi Ismail AS dengan seekor kibas sebagai tanda rahmat dan ganjaran terhadap ketaatan mereka.
Peristiwa ini memberi pengajaran bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan kerana Allah SWT tidak akan sia-sia. Allah SWT pasti menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik sama ada di dunia atau di akhirat.
Oleh itu, umat Islam perlu yakin bahawa jalan ketaatan kadangkala menuntut kesusahan dan pengorbanan, namun akhirnya membawa kebahagiaan hakiki.
Di era globalisasi dan materialisme hari ini, falsafah korban semakin relevan untuk membina manusia yang memiliki kekuatan rohani dan integriti moral.
Dunia moden sering mengangkat budaya hiburan, kemewahan dan kebebasan tanpa batas sehingga manusia semakin jauh daripada nilai kehambaan kepada Allah SWT.
Justeru, Aidiladha perlu dihayati bukan sekadar sebagai perayaan tahunan tetapi sebagai madrasah tarbiah yang membentuk jiwa bertakwa.
Muhasabah Diri
Korban juga mendidik manusia agar sentiasa muhasabah diri. Apakah yang telah dikorbankan demi agama? Adakah kita sanggup meninggalkan dosa dan maksiat kerana Allah SWT? Adakah kita bersedia mengorbankan masa demi ibadah dan perjuangan Islam? Persoalan-persoalan ini penting agar ibadah korban benar-benar memberi kesan dalam kehidupan.
Kesimpulannya, ibadah korban mempunyai falsafah yang amat besar dalam membangunkan ketaatan kepada Maha Pencipta. Ia bukan sekadar ritual penyembelihan haiwan, tetapi suatu proses tarbiah rohani yang mendidik manusia menjadi hamba Allah yang taat, ikhlas, penyayang dan sanggup berkorban demi agama. Kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS menjadi teladan sepanjang zaman tentang makna sebenar pengabdian so kepada Allah SWT.
Semoga ibadah korban yang dilaksanakan setiap tahun mampu melahirkan umat Islam yang memiliki jiwa pengorbanan tinggi, cinta kepada Allah SWT dan sentiasa mendahulukan perintah-Nya dalam setiap aspek kehidupan.
Dengan memahami falsafah korban secara mendalam, manusia akan lebih dekat kepada Allah SWT dan berjaya membina kehidupan yang diberkati di dunia serta memperoleh kebahagiaan abadi di akhirat.
Hasri Harun adalah Pensyarah Kanan Unisel/Timbalan Presiden Wadah
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L