JS-SEZ: Komuniti Luar Bandar Johor Bakal Lahir Tenaga Kerja Celik AI, Digital

JOHOR BAHRU – Pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bakal menyaksikan transformasi drastik landskap luar bandar di negeri ini menerusi penerapan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan ekonomi digital berskala makro bermula dari peringkat akar umbi.

Langkah strategik itu bagi memastikan limpahan ekonomi daripada zon khas antarabangsa tersebut tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya turut mengupayakan komuniti luar bandar sebagai rantaian nilai yang kompetitif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas Tan Eng Meng berkata persediaan domestik perlu bermula sekarang memandangkan beberapa kawasan luar bandar dan pinggir bandar di Pontian kini berada dalam perimeter impak koridor ekonomi mega tersebut.

Beliau berkata, sebagai contoh, Pekan Nanas secara tradisinya merupakan kawasan pertanian, kini sedang mengalami peralihan pesat kepada sektor berteraskan industri, logistik dan perkhidmatan berteknologi tinggi.

“Kedudukan geografi berhampiran dengan hab pesat membangun seperti Iskandar Puteri serta Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) meletakkan kawasan luar bandar ini sebagai zon limpahan yang kritikal.

“Oleh itu, pasaran tempatan termasuk penggiat industri kecil dan sederhana (IKS) luar bandar sedang dipacu secara agresif untuk mengaplikasikan ekonomi digital menerusi kolaborasi bersama Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB),” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama Radio bagi segmen Johor Tersohor, hari ini.

Mengulas mengenai pemodenan sektor agro-makanan, Tan berkata agenda automasi dan teknologi pertanian (Agrotech) kini diperkemas bagi memastikan golongan petani tradisional mampu berintegrasi dengan standard rantaian bekalan JS-SEZ tanpa mengalami kejutan teknologi.

Selain sektor ekonomi, lonjakan modal insan berkemahiran tinggi turut dimulakan di peringkat sekolah rendah menerusi kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pontian bagi mendedahkan murid kepada ekosistem AI dan memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Langkah itu selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan tenaga kerja masa hadapan yang memenuhi keperluan pelabur asing di bawah kerangka zon ekonomi khas berkenaan.

Bagaimanapun, Tan memberi jaminan bahawa keghairahan mengejar status wilayah ekonomi moden tidak akan mengetepikan agenda jaringan keselamatan sosial di peringkat luar bandar.

“Pembangunan infrastruktur luar bandar kekal menjadi keutamaan bagi memastikan akses perhubungan sentiasa seimbang dengan kawasan bandar. Pada masa sama, kebajikan golongan rentan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit terlantar akan terus dijamin melalui program sokongan bersasar agar tiada yang tercicir daripada arus pemodenan ini,” katanya.

Beliau berkata, usaha agresif menarik pelaburan baharu ke koridor berkenaan akan terus dipergiat bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti demi meningkatkan pendapatan garis asas (baseline income) masyarakat setempat. – BERNAMA

Telegram 

Facebook 

TikTok

Whatsapp 

Iklanadmin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *