Untung Advancecon naik 85.8 peratus disokong buku pesanan tinggi

KUALA LUMPUR – Advancecon Holdings Bhd. merekodkan lonjakan keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik sebanyak 85.8 peratus tahun ke tahun kepada RM1.81 juta pada Suku Pertama Tahun Kewangan 2026 (S1 TK2026).

Advancecon berkata, peningkatan ketara ini diperkukuhkan lagi dengan prospek pendapatan masa depan yang terjamin apabila buku pesanan Kumpulan kini dilaporkan menghampiri nilai RM940 juta.

Bagaimanapun, berdasarkan data yang disahkan, pendapatan keseluruhan Kumpulan menyusut sedikit kepada RM97.45 juta berbanding RM101.21 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Penurunan ini membuktikan lonjakan keuntungan didorong oleh disiplin pelaksanaan serta kecekapan pengurusan kos, dan bukan semata-mata bergantung kepada jumlah jualan.

Segmen Pembinaan dan Perkhidmatan Sokongan kekal sebagai tunjang utama perniagaan dengan menyumbang RM50.0 juta atau 51.3 peratus daripada keseluruhan pendapatan Kumpulan.

Keuntungan sebelum cukai bagi segmen berkenaan mencatatkan peningkatan luar biasa kepada RM5.0 juta berbanding hanya RM0.3 juta pada S1 TK2025. Ia dipacu oleh kemajuan pelaksanaan projek, kawalan kos yang ketat, serta keuntungan yang timbul daripada pelupusan jentera.

Mengulas pencapaian ini, Pengarah Urusan Advancecon Holdings Bhd, Phum Boon Eng berkata, “S1 TK2026 mencerminkan peningkatan pelaksanaan operasi merentasi perniagaan pembinaan teras kami memandangkan projek yang diperoleh pada suku-suku kebelakangan ini terus berkembang.”

“Walaupun persekitaran operasi kekal kompetitif, terutamanya berkaitan dengan diesel dan kos operasi, Kumpulan kekal berdisiplin dalam pemilihan projek, pengurusan kos dan pelaksanaan operasi,” tambah Boon Eng

Melangkah ke hadapan, Kumpulan yakin permintaan untuk perkhidmatan seperti kerja tanah dan kejuruteraan awam akan terus disokong oleh pelaburan infrastruktur serta kemunculan Johor sebagai koridor ekonomi strategik.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *