KUALA LUMPUR – UMNO diseru supaya kembali memainkan peranan lebih tegas dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam ketika landskap politik negara dilihat semakin mencabar, kata bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Menurut beliau, pemimpin parti di semua peringkat tidak seharusnya memilih untuk berdiam diri terhadap pelbagai isu melibatkan hak orang Melayu, sebaliknya perlu tampil berani bersuara serta mengambil tindakan jelas demi mempertahankan kepentingan rakyat.
Katanya, budaya politik hanya bergantung kepada retorik dan ucapan semata-mata tanpa tindakan konkrit tidak lagi memadai dalam keadaan semasa yang menyaksikan pelbagai isu sensitif semakin mendapat perhatian masyarakat.
“Pemimpin Melayu dalam UMNO perlu berani bercakap benar dan bertindak. Jangan sekadar lantang berucap di pentas politik, tetapi akhirnya tiada tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Politik bukan medan untuk menjaga kepentingan peribadi atau kelompok tertentu semata-mata. Realiti hari ini memperlihatkan keadaan seolah kita mempunyai kuasa, tetapi hakikatnya banyak perkara berlaku menunjukkan kita sebenarnya tidak mempunyai kekuatan sebenar untuk mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat tahunan lima cawangan UMNO Bahagian Cheras di Kuala Lumpur semalam.
Dalam ucapannya, Syed Ali turut mengingatkan kepimpinan tertinggi parti supaya tidak memandang ringan suara akar umbi yang menurutnya semakin resah dengan pelbagai perkembangan semasa melibatkan isu politik, ekonomi dan pendidikan.
Beliau berkata, suara ahli di peringkat bawahan perlu diberikan perhatian serius kerana mereka adalah nadi kekuatan parti yang sentiasa berdepan dengan denyut nadi rakyat di lapangan.
“Jangan sesekali meminggirkan pandangan akar umbi. Mereka melihat sendiri keresahan rakyat dan memahami apa yang sedang berlaku dalam masyarakat.
“Kalau pemimpin hanya mahu mendengar perkara yang menyenangkan hati sendiri, akhirnya parti akan hilang arah dan gagal memahami realiti sebenar,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menegur sikap segelintir pemimpin yang menurutnya dilihat terlalu berhati-hati sehingga gagal menyatakan pendirian tegas terhadap isu yang melibatkan kepentingan rakyat.
Syed Ali berkata, pemimpin UMNO perlu mempunyai keberanian moral untuk menegur sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa atau tindakan pihak tertentu yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi politik dan pentadbiran negara.
“Kita perlu lantang dan berani supaya kita dihormati. Jangan takut apabila kita berada di pihak yang benar dan mempertahankan hak rakyat, khususnya orang Melayu dan umat Islam.
“Kalau kita sendiri memilih untuk berdiam diri, maka jangan hairan jika rakyat mula hilang keyakinan terhadap perjuangan parti,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan jawatan dan kedudukan dipegang oleh seseorang pemimpin adalah amanah besar yang bukan sahaja dipersoalkan oleh rakyat, malah akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Menurutnya, setiap pemimpin perlu melaksanakan tugas dengan penuh integriti, jujur dan ikhlas demi memastikan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Setiap amanah akan dipersoalkan. Sebab itu pemimpin tidak boleh leka dengan jawatan atau kuasa kerana semuanya bersifat sementara.
“Gunakan kedudukan yang ada untuk membantu rakyat dan mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara,” katanya.
Mengulas isu semasa, Syed Ali berkata, pelbagai cabaran menyentuh hak orang Melayu ketika ini, termasuk dalam sektor pendidikan dan sosial, perlu ditangani secara serius serta tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa tindakan sewajarnya.
Beliau mempersoalkan sama ada orang Melayu mahu terus berdiam diri dan hanya menjadi pemerhati terhadap perkembangan yang berlaku di sekeliling mereka.
“Kita perlu bertanya kepada diri sendiri, sampai bila kita mahu hanya melihat apa yang berlaku di depan mata tanpa melakukan apa-apa?
“Kalau pemimpin sendiri tidak berani mempertahankan kepentingan rakyat, siapa lagi yang rakyat boleh harapkan?” soalnya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyatakan sokongan terhadap titah Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penternakan babi di Selangor yang menurutnya menyentuh sensitiviti umat Islam dan memerlukan perhatian serius semua pihak.
Katanya, perkara yang melibatkan sensitiviti agama tidak boleh dipandang ringan dan perlu ditangani secara bijaksana demi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya menghormati institusi diraja serta mengambil serius titah yang disampaikan demi kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L