Dari Meja Editorial
LANDSKAP politik negara memasuki fasa baharu apabila dua pemimpin kanan PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen serta keluar daripada parti itu.
Pengumuman itu dibuat dalam satu majlis khas di Petaling Jaya semalam, mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai masa depan politik negara serta implikasi terhadap kestabilan gabungan kerajaan sedia ada.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, peletakan jawatan mereka sebagai Ahli Parlimen berkuat kuasa Isnin (hari ini), manakala keputusan keluar dari PKR berkuat kuasa esok (Selasa) menerusi surat rasmi kepada Setiausaha Agung parti.
Menurut beliau, surat rasmi mengenai pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa juga akan dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.
Keputusan itu dilihat sebagai antara perkembangan politik paling besar tahun ini memandangkan kedua-dua tokoh berkenaan sebelum ini antara pemimpin reformasi yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh PKR sejak awal penubuhannya.
Dalam sidang media itu, Rafizi turut mengumumkan beliau dan Nik Nazmi akan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) sebagai platform perjuangan politik baharu selepas meneliti pelbagai pilihan sejak setahun lalu.
Menurut beliau, keputusan memilih parti berkenaan dibuat selepas mereka mengadakan pelbagai siri perbincangan dan penilaian terhadap landskap politik semasa serta aspirasi yang mahu dibawa.
“Sejak setahun lalu, kami meneliti pelbagai parti kecil yang sedia ada sebelum memilih Parti Bersama Malaysia sebagai platform paling sesuai dengan aspirasi perjuangan yang mahu diketengahkan,” katanya.
Dalam ucapan sama, Rafizi mendedahkan usaha mencari wadah politik baharu sebenarnya telah dimulakan sejak setahun lalu menerusi apa yang disifatkannya sebagai “gerakan kamikaze”.
Beliau berkata, beberapa langkah strategik diambil secara sulit termasuk pendaftaran beberapa parti politik baharu sebagai “decoy” atau umpan bagi mengelirukan pihak tertentu supaya perancangan mereka tidak dihidu lebih awal.
Menurutnya, langkah tersebut dibuat kerana beliau dan Nik Nazmi telah menjangkakan sebarang permohonan untuk menubuhkan parti politik baharu kemungkinan besar tidak akan diluluskan.
“Kami tahu untuk mendaftarkan satu parti baharu bukan sesuatu yang mudah dan kemungkinan besar tidak akan diluluskan.
“Ramai yang bertanya kenapa tidak tubuh sahaja parti baharu, tetapi kami sudah menjangka perkara itu. Sebab itu kami melihat pilihan lain yang lebih praktikal,” katanya.
Rafizi turut menyifatkan landskap politik negara ketika ini sebagai terlalu padat dengan parti politik, namun kebanyakannya gagal menawarkan idealisme serta pendekatan baharu kepada rakyat.
“Di Malaysia ini ada 73 parti politik. Orang lupa perkara itu. Keadaannya seperti memilih di Shopee. Kami mula melihat satu demi satu parti yang ada, menilai kesesuaian dan aspirasi masing-masing sebelum membuat keputusan,” katanya lagi.
Pendedahan tersebut mencerminkan perancangan politik mereka bukan keputusan spontan, sebaliknya telah disusun secara strategik dalam tempoh panjang bagi membentuk gerakan politik alternatif.
Dalam perkembangan sama, Rafizi menjelaskan beliau dan Nik Nazmi tidak menubuhkan Parti Bersama Malaysia, sebaliknya hanya memilih untuk menyertai sebuah parti sedia ada yang diasaskan oleh rakyat biasa.
Beliau berkata, parti yang berpangkalan di Pulau Pinang itu dibangunkan oleh individu yang tidak terkenal di pentas politik nasional, namun mempunyai idealisme untuk membawa perubahan politik yang lebih dekat dengan rakyat.
“Saya tidak tubuhkan parti ini, Nik juga tidak tubuhkan parti ini. Kami hanya menyertai sebuah parti yang diasaskan rakyat biasa di kampung dan bandar.
“Hasrat kami ialah menawarkan satu platform politik kepada rakyat yang berfikiran sama dan yakin bahawa kuasa politik itu milik rakyat, bukannya milik ahli politik semata-mata,” katanya.
Rafizi turut merakamkan penghargaan kepada Tan Gin Theam yang disifatkannya sebagai antara individu penting dalam penubuhan Parti Bersama Malaysia kerana memahami aspirasi mereka serta bersedia membuka ruang kerjasama.
Menurut beliau, beberapa siri pertemuan diadakan sebelum kedua-dua pihak mencapai keserasian untuk bergerak bersama dalam platform politik tersebut.
Dalam nada lebih tegas, Rafizi berkata Parti Bersama Malaysia bersedia untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya akan datang termasuk menentang kerusi yang kini disandang PKR atau parti-parti dalam kerajaan jika keadaan memerlukan.
Kenyataan itu dilihat memberi isyarat jelas parti baharu tersebut bukan sekadar gerakan kecil bersifat simbolik, sebaliknya bersedia menjadi kuasa politik alternatif yang lebih besar pada masa hadapan.
Beliau berkata, pendekatan politik yang mahu dibawa oleh Bersama akan memberi penekanan kepada pembinaan budaya politik baharu dengan mengetengahkan calon muda, berpengalaman dan mewakili pelbagai latar belakang masyarakat tanpa mengira kaum.
“Kami mahu membina satu budaya politik yang lebih matang, lebih inklusif dan lebih dekat dengan rakyat.
“Politik tidak boleh lagi bergantung kepada dominasi individu tertentu atau tokoh besar semata-mata,” katanya.
Menurut beliau, rakyat kini semakin muak dengan budaya politik lama yang dipenuhi perebutan kuasa, percaturan elit serta pertelagahan dalaman parti tanpa memberi fokus terhadap masalah sebenar rakyat.
Keputusan Rafizi dan Nik Nazmi meninggalkan PKR dijangka memberi kesan besar kepada parti itu memandangkan kedua-duanya mempunyai pengaruh tersendiri terutama dalam kalangan ahli akar umbi dan pengundi bandar.
Rafizi sebelum ini dikenali sebagai antara arkitek strategi pilihan raya PKR serta tokoh penting yang membawa pendekatan politik berasaskan data dan reformasi institusi.
Nik Nazmi pula merupakan antara pemimpin muda yang lama bersama perjuangan reformasi dan pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam parti serta kerajaan.
Penganalisis politik melihat langkah kedua-dua pemimpin itu berpotensi mencetuskan gelombang baharu dalam politik pembangkang dan kerajaan, khususnya jika Parti Bersama Malaysia berjaya menarik sokongan generasi muda dan pengundi atas pagar.
Malah, pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa juga dijangka membuka laluan kepada pilihan raya kecil sekiranya kekosongan tersebut disahkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Situasi itu berpotensi menjadi ujian penting terhadap sokongan rakyat kepada kerajaan semasa selain mengukur pengaruh politik Rafizi dan Nik Nazmi di luar PKR.
Dalam penutup ucapannya, Rafizi menegaskan gerakan politik yang dibawa mereka bukan sekadar pertukaran parti, tetapi usaha menawarkan pilihan baharu kepada rakyat yang mahukan politik lebih bersih, progresif dan berpaksikan rakyat.
Beliau berkata, kuasa politik seharusnya dikembalikan kepada rakyat dan bukannya dimonopoli kelompok elit politik tertentu.
“Kami mahu rakyat percaya politik masih boleh menjadi medan memperjuangkan masa depan negara secara jujur dan bermaruah.
“Ini bukan soal individu, tetapi soal membina semula keyakinan rakyat terhadap sistem politik negara,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L