Banjir Melanda Dua Daerah di Perak, Puluhan Penduduk Dipindahkan ke PPS

IPOH – Hujan berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di dua daerah di Perak dilanda banjir sehingga memaksa penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara (PPS).

Seramai 43 mangsa daripada 11 keluarga terjejas dalam kejadian itu melibatkan daerah Larut, Matang dan Selama serta Batang Padang.

Operasi pemindahan dijalankan oleh pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan penduduk yang terperangkap di kawasan dinaiki air.

Di daerah Larut, Matang dan Selama, seramai 37 mangsa daripada sembilan keluarga dari Kampung Matang Pasir dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir yang mula dibuka pada jam 1.30 pagi tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), mangsa yang ditempatkan di PPS melibatkan lelaki dan wanita dewasa, kanak-kanak serta warga emas yang dipindahkan selepas kediaman mereka dinaiki air akibat limpahan banjir.

Walaupun beberapa kawasan penempatan terjejas, setakat ini tiada laluan utama dilaporkan terputus atau ditenggelami air. Keadaan cuaca di daerah berkenaan dilaporkan mendung dengan pemantauan berterusan dilakukan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, di daerah Batang Padang, enam mangsa daripada dua keluarga di Kampung Klah Baru dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna kampung tersebut selepas banjir melanda kawasan kediaman mereka.

PPS di kawasan itu dibuka pada jam 11.30 malam bagi menempatkan mangsa yang terdiri daripada lelaki dewasa, wanita dewasa, kanak-kanak dan warga emas.

JPBD Batang Padang memaklumkan keadaan cuaca di daerah itu semakin baik dan paras air di sungai utama menunjukkan trend penurunan, namun pemantauan tetap diteruskan bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya hujan kembali lebat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *