PONTIAN – Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menerima kunjungan delegasi tertinggi daripada USIM Holdings Sdn. Bhd. ke Parit Jerman, Teluk Kerang di sini, bagi meninjau pembangunan menyeluruh rantaian industri nanas yang dilaksanakan secara bersepadu dan komersial.
Lawatan kerja tersebut bermula di Jermanpine Cafe yang mengetengahkan konsep agro pelancongan berasaskan industri nanas tempatan.
Pendekatan ini turut menampilkan pelbagai produk hiliran yang dihasilkan daripada sumber ladang sendiri, sekali gus memperkukuh nilai tambah kepada hasil pertanian negara.

Delegasi kemudiannya dibawa melawat kawasan tanaman nanas varieti MD2 seluas kira-kira 120 ekar di kawasan tanah gambut yang diusahakan secara komersial.
Projek berkenaan dilihat sebagai antara model pembangunan industri nanas moden yang menekankan Amalan Pertanian Baik (GAP) serta pengurusan ladang yang lebih sistematik dan berdaya maju.
Selain itu, delegasi turut diberikan penerangan mengenai aktiviti pemprosesan tart nanas yang menggunakan buah nanas daripada hasil tanaman sendiri.
Inisiatif tersebut memperlihatkan potensi besar industri hiliran dalam meningkatkan nilai ekonomi produk berasaskan nanas tempatan.
Lawatan diteruskan ke pusat pengumpulan nanas bagi meninjau proses penggredan dan pemasaran buah mengikut keperluan pasaran semasa. Ia bertujuan memastikan kualiti hasil pertanian sentiasa menepati standard industri serta kehendak pembeli.
Delegasi juga didedahkan dengan konsep integrasi pertanian melalui gabungan ternakan lembu daging yang memanfaatkan sisa nanas sebagai sumber makanan ternakan.

Pendekatan ekonomi kitaran ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran, malah menyokong kelestarian industri serta meningkatkan kecekapan pengeluaran sehingga tuaian ketiga.
Lawatan tersebut diharapkan dapat menjadi platform memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara pihak industri dan agensi berkaitan, selain memperluaskan potensi pembangunan industri nanas negara secara mampan dan berimpak tinggi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L