Mubarak Thahak, lima lagi fail saman dapatkan minit mesyuarat DKU Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR – Datuk Mubarak Thahak bersama lima individu lain memfailkan saman pemula untuk mendapatkan salinan minit mesyuarat Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan yang berlangsung pada 17 April lalu.

Selain Mubarak, lima lagi plaintif ialah Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau Datuk Abdul Rahim Yasin, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Shahbandar Sungei Ujong Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid.

Mereka memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Seremban semalam menerusi Tetuan Deidra Sharina & Co dan menamakan Setiausaha DKU Raja Norazli Raja Nordin, DKU serta Kerajaan Negeri Sembilan sebagai defendan.

Sebelum ini, Mubarak dilaporkan sudah dilucutkan dari kedudukan sebagai Undang Luak Sungei Ujong.

Berdasarkan dokumen diperoleh media semalam, keenam-enam plaintif memohon deklarasi bahawa sebagai Ahli DKU, mereka berhak dibekalkan salinan minit mesyuarat Sidang Khas DKU itu yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti.

Mereka juga memohon perintah agar minit mesyuarat berkenaan diserahkan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh keputusan mahkamah.

Turut dimohon ialah perintah agar mahkamah menggantung pelaksanaan keputusan mesyuarat khas DKU itu sehingga minit berkenaan dikemuka dan diserahkan kepada mereka selain kos, relif atau perintah lain yang difikirkan adil serta wajar oleh mahkamah.

Berdasarkan afidavit sokongan yang diikrarkan pada 16 April lalu, Muhammed berkata, beliau dan plaintif kedua, kelima serta keenam telah menerima surat jemputan daripada DKU bertarikh 15 April untuk menghadiri Mesyuarat Khas itu.

Beliau mendakwa jemputan itu adalah di luar kebiasaan prosiding DKU kerana surat akan dikeluarkan sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh mesyuarat diadakan bagi membolehkan ahli-ahli mesyuarat membuat pelarasan jadual tugasan rasmi masing-masing.

Muhammed berkata, menurut surat jemputan, mesyuarat dipanggil untuk mendengar laporan aduan daripada Telaga Undang Luak Sungei Ujong berkaitan beliau selaku plaintif pertama.

“Kami menegaskan pada kali ini, tiada sebarang agenda mesyuarat telah dilampirkan bersama surat jemputan bertarikh 17 April 2026, yang ditandatangani defendan pertama selaku Setiausaha DKU.

“Kebiasaannya, nota dan minit mesyuarat DKU terdahulu akan turut diserahkan kepada ahli mesyuarat sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh sidang untuk membolehkan ahli membuat persediaan rapi.

“Meskipun panggilan menghadiri Mesyuarat Khas DKU ini bersifat segera, kami menyatakan sekurang-kurangnya agenda berkenaan haruslah disediakan dan dimajukan oleh pihak DKU kepada semua ahli-ahli mesyuarat terlebih dahulu,” katanya.

Selain itu, Muhammed mendakwa plaintif pertama dan keempat tidak menerima sebarang surat jemputan daripada pihak DKU untuk menghadiri Mesyuarat Khas berkenaan. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *