KANGAR – Isu dakwaan mencuri ahli dalam kalangan parti politik disifatkan sebagai tidak matang dan terlalu kebudak-budakan, kata Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kangar, Fathul Bari Mat Jahya.
Menurut beliau, dalam konteks politik demokrasi, perkara yang lebih penting bukanlah menuduh mana-mana pihak mencuri wakil rakyat, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menjaga kebajikan dan kesetiaan ahli parti secara berterusan.
“Pada hemat saya, isu ini terlalu kebudak-budakan. Ini bukan soal ‘mencuri’ Ahli Parlimen atau ADUN. Dalam politik, yang lebih utama ialah bagaimana kita menjaga ahli dengan baik dan konsisten,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menjelaskan, fenomena peralihan sokongan ahli bukanlah sesuatu yang luar biasa, malah pernah berlaku dalam kalangan ahli UMNO sendiri di Kangar, apabila terdapat ahli beralih sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).
“Adakah saya mengeluarkan kenyataan bahawa PH ‘mencuri’ ahli UMNO? Tidak,” tegasnya.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan, antara faktor yang mendorong ahli meninggalkan parti termasuk rasa tidak puas hati, perbezaan pendirian dengan kepimpinan, kekecewaan kerana tidak mendapat jawatan atau merasakan diri dipinggirkan.
Situasi sedemikian, katanya, membuka ruang kepada parti lain untuk mendekati mereka.
“Itu adalah lumrah dalam sistem demokrasi. Akan sentiasa ada pergerakan dan perubahan,” jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak terlalu rigid dalam menilai pertukaran parti, seolah-olah ia merupakan satu kesalahan mutlak.
“Demokrasi memberi ruang untuk pilihan dan perubahan. Justeru, pandai-pandailah kita menjaga ahli kita sendiri,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut mengemukakan persoalan balas kepada pihak yang membangkitkan isu tersebut, dengan merujuk kepada pengalaman dalam kalangan ahli PAS yang didakwa pernah beralih kepada Parti Amanah Negara (AMANAH).
“Saya ingin bertanya secara terbuka; bukankah dalam kalangan tuan sendiri yang merupakan ahli PAS, namun ‘dicuri’ oleh AMANAH? Betul tak?” katanya.
Kenyataan ini dilihat sebagai reaksi terhadap polemik berterusan dalam arena politik tempatan berhubung kesetiaan ahli dan pergerakan sokongan antara parti-parti dalam landskap politik negara.
Top of Form
Bottom of Form
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L