IPOH – Pengerusi Jawatankuasan Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, bagi membentangkan perkembangan terkini berkaitan isu pemindahan tiga gajah dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji, di Jepun.
Sandrea berkata, pertemuan di pejabat Perdana Menteri itu membincangkan beberapa perkara utama, antaranya berkaitan kebajikan tiga gajah tersebut iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK), kepentingan menjaga hubungan diplomatik yang baik dan menghormati komitmen serta perjanjian yang telah dimeterai.
“Keprihatinan masyarakat terhadap isu ini amat dihargai dan dalam masa yang sama penting juga untuk kita melihatnya secara menyeluruh, berasaskan fakta serta perkembangan semasa.
“Penekanan turut diberikan agar semua pihak berkaitan mengambil pendekatan yang cermat dalam setiap tindakan, dengan keutamaan diberikan kepada kebajikan haiwan serta pemantauan berterusan bagi memastikan keadaan mereka sentiasa berada pada tahap yang baik,” kata beliau menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
Sandrea berkata, sebarang perkembangan lanjut berhubung perkara itu akan dikongsikan dari semasa ke semasa oleh pihak yang berwajib.
Semalam, Perdana Menteri menerusi satu hantaran di laman Facebook menegaskan agar kebajikan tiga gajah Malaysia itu diberi keutamaan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Anwar berkata, sebarang keputusan dan tindakan perlu dilaksanakan berasaskan fakta serta mengambil kira kebajikan terbaik DAK.
Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menegaskan, DAK wajar dibawa pulang ke Malaysia sekiranya pelaksanaan perjanjian sedia ada didapati tidak lagi selari dengan prinsip konservasi, kebajikan hidupan liar dan sensitiviti semasa. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L