KEMAMAN – Pentas ragbi akar umbi negara menerima suntikan baharu apabila Kejohanan HIPERSIS 7s bawah 12 tahun edisi sulung berjaya menghimpunkan 32 pasukan dari seluruh negara di Kemaman, Terengganu.
Penyertaan membabitkan pasukan dari Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang itu sekali gus mencerminkan perkembangan positif sukan ragbi di peringkat sekolah rendah yang sebelum ini dilihat kurang diberi perhatian dari segi penganjuran pertandingan.
Berlangsung di Universiti Kolej TATI (UC TATI), Kemaman dalam format tujuh sebelah (7s), kejohanan ini turut menjadi platform terbaik bagi pasukan muda mengasah kemampuan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) pada September ini.
Penaung kejohanan, Mohd Nasir Mat Omar berkata, inisiatif menganjurkan HIPERSIS 7s tercetus daripada keperluan menyediakan lebih banyak ruang pertandingan kepada pemain bawah 12 tahun.

“Selama ini, ketiadaan kejohanan khusus untuk peringkat sekolah rendah menyebabkan pasukan terutama dari Pantai Timur terpaksa ke negeri lain bagi mendapatkan pendedahan.
“Justeru, kami sebagai warga pendidik di Kemaman mengambil langkah menganjurkan kejohanan ini bagi memperkukuh pembangunan ragbi di peringkat akar umbi.
“Sambutan yang diterima amat menggalakkan, malah kehadiran pasukan dari luar Terengganu melebihi jangkaan dan memberi petanda positif untuk diteruskan pada masa akan datang,” katanya yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail, Kemaman.
Sementara itu, Pengurus Akademi Ragbi Mersing (ARMERS), Muhammad Aliff Haikal Zaidi menyifatkan kejohanan berkenaan sebagai peluang penting bagi pasukannya yang masih baharu sejak ditubuhkan pada 2023 untuk menimba pengalaman dalam suasana kompetitif.

“Rata-rata dalam mana-mana kejohanan dalam negara jarang mempertaruhkan kategori peringkat usia bawah 12 tahun walaupun sebenarnya terdapat banyak pasukan ragbi peringkat usia ini yang sebenarnya lahir dari sekolah rendah seluruh negara.
“Oleh sebab itu kami sanggup menempuh perjalanan jauh untuk berentap di sini,” katanya.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula 1 Mei itu turut melibatkan kategori wanita dengan penyertaan 10 pasukan, sekali gus menjadikan keseluruhan 32 pasukan bersaing merebut kejuaraan di Kemaman.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L