WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump diiring keluar dari dewan pada majlis White House Correspondents’ Dinner di sini, selepas beberapa bunyi kuat yang dipercayai sebagai tembakan kedengaran berhampiran lokasi acara itu, pada Sabtu malam.
Pasukan keselamatan Perkhidmatan Rahsia AS bertindak pantas dengan mengiring Presiden Trump, isteri beliau, Melania Trump serta beberapa pemimpin kanan lain keluar dari dewan utama sebagai langkah berjaga-jaga.
Ratusan tetamu dilaporkan berlindung di bawah meja dan pintu dewan ditutup seketika sepanjang prosedur keselamatan dijalankan.
Beberapa saksi melaporkan jeritan mengarahkan orang ramai memberi laluan dan menunduk ketika situasi menjadi cemas.
Kejadian itu berlaku ketika majlis berprestij itu berlangsung di Hotel Washington Hilton, dengan kehadiran ratusan tetamu termasuk pegawai kanan pentadbiran, wartawan, selebriti dan pengamal media.
Setakat ini, pihak berkuasa belum mengesahkan secara rasmi punca sebenar bunyi tersebut.
Namun, beberapa laporan awal menyebut bunyi “dentuman kuat” atau “tembakan disyaki” kedengaran berhampiran lobi hotel, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan hadirin.
Rangkaian televisyen AS melaporkan tiada kecederaan dilaporkan setakat kejadian itu, manakala situasi berjaya dikawal selepas langkah keselamatan dipertingkatkan.
Pihak Perkhidmatan Rahsia memaklumkan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti sumber ancaman berkenaan.
Majlis White House Correspondents’ Dinner merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pengamal media dan pemimpin tertinggi AS dan kehadiran Presiden Trump pada tahun ini menjadi tumpuan kerana ia merupakan penampilan pertamanya sebagai Presiden ketika acara tersebut. – Agensi
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp:https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L