Oleh: Jamly Bahrulddin

ADA manusia menulis kerana fikirannya dipenuhi pertanyaan yang tidak menemukan jawapan. Ada pula menjadikan tulisan sebagai tempat menyimpan kesedihan, merawat kerinduan atau melepaskan perasaan terlalu lama terpendam di dada. Tidak kurang juga menulis kerana mahu berkongsi pengetahuan, merakam pengalaman dan meninggalkan sesuatu yang dapat dibaca oleh generasi selepasnya.
Apa pun sebab membawa seseorang kepada dunia penulisan, perjalanan itu lazimnya bermula dengan satu perkara sederhana, iaitu keinginan untuk menyampaikan sesuatu kepada orang lain. Namun, keinginan sahaja tidak memadai. Seseorang mungkin memiliki banyak cerita, beribu gagasan dan pengalaman yang luas, tetapi semuanya akan terus menjadi penghuni fikirannya jika tidak diterjemahkan ke dalam tulisan.
Di sinilah kepercayaan terhadap diri sendiri memainkan peranan. Kepercayaan itu bukan bermaksud seseorang menganggap dirinya sudah pandai atau karyanya tidak mempunyai kelemahan. Sebaliknya, ia ialah keberanian untuk memulakan langkah, kesediaan untuk belajar dan ketabahan untuk terus menulis meskipun hasilnya belum seperti yang diharapkan.
Persoalan inilah disentuh oleh Marsli N.O menerusi bukunya, Rahsia Penulis Berjaya: Menulis Dengan Percaya Diri. Buku diterbitkan oleh Smart Forum Resources pada 2026 ini membawa pembaca menyelami dunia penulisan dari sudut lebih dekat dengan pengalaman manusia.
Buku ini dibahagikan kepada 17 bab kecil menghimpunkan pedoman untuk mereka yang baharu hendak berjinak-jinak dengan penulisan, selain memberikan peringatan kepada mereka yang sudah lama berada di dalam gelanggangnya.
Daripada persoalan mengapa seseorang menulis, bagaimana membina keyakinan diri sehinggalah kepada usaha menerbitkan karya dan bertahan dalam dunia yang sentiasa berubah, setiap bahagian mengajak pembaca menilai kembali hubungan mereka dengan dunia kata-kata.
Enam bab pertama membawa pembaca kembali kepada pertanyaan asas: mengapa kita menulis? Pertanyaan ini mungkin kelihatan mudah, tetapi jawapannya tidak pernah seragam. Setiap orang mempunyai pintu masuk berbeza ke dunia penulisan. Ada datang melalui pembacaan, ada tergerak selepas menghadiri bengkel atau seminar, manakala sebahagian lain menemui jalan itu melalui pengalaman hidup yang meninggalkan kesan mendalam.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kesunyian, kekecewaan, kerinduan dan kesedihan kadangkala menjadi benih kepada sesuatu karya. Perasaan yang tidak mampu diluahkan melalui percakapan menemukan ruangnya pada helaian kertas. Apa yang pada mulanya hanya berupa keluhan peribadi perlahan-lahan berkembang menjadi sebuah puisi, cerpen, rencana atau catatan yang mungkin menyentuh hati pembaca yang tidak pernah dikenalinya.
Marsli turut mengingatkan pembaca, memilih jalan penulisan bererti bersedia menerima kritikan. Ada teguran membuka mata, ada pandangan membantu memperbaiki kelemahan, dan ada juga komen menguji kesabaran. Tidak semua kritikan menyenangkan hati, lebih-lebih lagi apabila sesuatu karya lahir daripada pengalaman yang sangat dekat dengan jiwa penulisnya.
Namun, seorang penulis perlu belajar membezakan kritikan yang membina daripada pandangan tidak berasas. Karya tidak boleh dianggap sempurna hanya kerana dipuji, sebagaimana karya tidak wajar ditinggalkan semata-mata kerana menerima kecaman. Kemampuan menerima pandangan orang lain tanpa kehilangan pertimbangan sendiri ialah sebahagian daripada proses mendewasakan pemikiran dan kemahiran berkarya.
Seni dan sastera tidak seharusnya dikorbankan semata-mata untuk menyampaikan sesuatu mesej. Bahasa memerlukan kehalusan, watak memerlukan kedalaman dan pemikiran memerlukan ruang untuk berkembang. Sesebuah karya akan lebih berkesan apabila nilai ingin disampaikan tumbuh secara semula jadi daripada keseluruhan penulisannya, bukan dipaksakan sehingga menghilangkan keindahan dan kejujuran.
Dalam perjalanan panjang ini, tidak semua penulis sampai ke puncak kejayaan. Ada berhenti di tengah jalan, ada yang bertahun-tahun menulis tanpa mendapat perhatian, dan ada juga terpaksa menerima kenyataan karya mereka tidak menemukan pembaca seperti diharapkan. Semua itu sebahagian daripada kehidupan penulisan yang tidak dapat dijanjikan dengan kepastian.
Namun, kegagalan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab terhadap mutu. Penulis perlu membina suara sendiri, bukan bersandar pada hasil orang lain. Meniru, melakukan plagiat atau mengambil karya seseorang lalu mengakuinya sebagai hasil sendiri bukan sahaja mencemarkan maruah pengarang, malah merosakkan kepercayaan terhadap dunia penulisan secara keseluruhan.
Teknologi mungkin memudahkan seseorang menghasilkan dan menyebarkan tulisan, tetapi kemudahan itu tidak menggugurkan kewajipan untuk berlaku jujur. Penulis menghormati karya orang lain akan berusaha mengembangkan pemikirannya sendiri, menyatakan sumber apabila perlu dan memperbaiki kelemahan melalui pembacaan serta latihan. Keaslian bukan bermaksud seseorang tidak boleh dipengaruhi oleh karya terdahulu, tetapi dia perlu mengolah pengaruh tersebut menjadi pemikiran dan suara yang benar-benar dipertanggungjawabkan sebagai miliknya.
Bahagian kedua, bab tujuh hingga sebelas memberikan perhatian kepada usaha menulis dengan jujur dan percaya akan kemampuan diri. Keyakinan bukanlah sesuatu yang hadir secara tiba-tiba. Ia tumbuh melalui pengalaman, pembacaan, latihan dan keberanian untuk mengakui kekurangan sendiri.
Ada penulis terlalu lama menunggu sehingga berasa dirinya cukup berilmu untuk memulakan karya. Ada menganggap dirinya belum layak kerana tidak memiliki ijazah tinggi, tidak pernah memenangi hadiah sastera atau belum diterbitkan oleh penerbit terkenal. Ada juga menyimpan manuskrip bertahun-tahun kerana takut orang lain akan mentertawakan hasil tulisannya.
Ketakutan seperti itu boleh menjadi tembok yang memisahkan seseorang daripada impiannya sendiri. Hakikatnya, setiap penulis bermula sebagai orang yang sedang belajar. Tidak ada karya lahir terus sempurna dan tidak ada pengarang dapat membebaskan dirinya daripada kemungkinan melakukan kesilapan. Yang membezakan seseorang daripada orang lain ialah kesediaannya untuk memperbaiki diri tanpa berhenti mencuba.
Kejujuran menjadi landasan penting dalam proses tersebut. Penulis jujur tidak menyembunyikan kelemahan di sebalik kata-kata berbunga-bunga, apatah lagi menganggap dirinya sentiasa betul. Dia bersedia meneliti semula tulisannya, memotong ayat tidak perlu, menyusun kembali pemikiran berselerak dan menerima hakikat sebahagian daripada apa ditulisnya mungkin tidak mencapai maksud diinginkan.
Namun, berpegang pada prinsip tidak bermakna penulis harus menutup pintu terhadap perbezaan pandangan. Sebaliknya, keberanian sebenar terletak pada kemampuan mempertahankan pendirian dengan hujah munasabah sambil menghormati hak orang lain untuk berfikir secara berbeza. Penulisan matang tidak semestinya menjerit untuk didengari; kadangkala kekuatannya terletak pada ketenangan hujah dan ketepatan kata.
Marsli turut menyentuh keperluan untuk menulis dengan rasa bahagia. Kebahagiaan dalam penulisan bukan bererti seseorang tidak pernah mengalami kekecewaan, kehilangan semangat atau berasa dirinya tidak cukup baik. Sebaliknya, kebahagiaan itu hadir apabila penulis menemukan makna dalam kegiatan dilakukannya, meskipun hasilnya belum mendapat pengiktirafan.
Seseorang yang menulis perlu belajar menikmati proses, bukan hanya menunggu penghujungnya. Ada kepuasan ketika satu perenggan berjaya diselesaikan, ketika sebuah gagasan yang kabur akhirnya menemukan bentuk, atau ketika sebuah karya lama terbengkalai dapat disudahkan. Perkara kecil seperti ini mungkin tidak terlihat oleh orang lain, tetapi bagi penulis, ia menjadi tanda perjalanan masih bergerak.
Penulis juga tidak boleh memisahkan dirinya sepenuhnya daripada masyarakat. Dia hidup dalam lingkungan manusia, menyaksikan perubahan, mendengar keluhan dan berhadapan dengan persoalan zaman. Semua itu menjadi bahan renungan memperkaya pemikirannya. Penulis bukan sekadar pencatat peristiwa, tetapi juga manusia yang berusaha memahami makna di sebalik peristiwa tersebut.
Oleh sebab itu, membaca perlu menjadi teman yang tidak pernah ditinggalkan. Melalui pembacaan, penulis mengenali pelbagai cara manusia berfikir, memahami keindahan bahasa dan melihat persoalan dari sudut yang mungkin tidak pernah terlintas dalam fikirannya. Ilmu yang bertambah akan meluaskan pandangan, manakala pandangan yang luas membantu seseorang menghasilkan tulisan lebih bernas dan berimbang.
Menulis bukan pekerjaan yang selesai dalam satu malam. Ia memerlukan masa, kesabaran dan kesanggupan mengulang sesuatu perkara sehingga menemukan bentuk paling sesuai. Seperti seorang tukang perahu memilih kayu, mengukur papan dan membentuk setiap bahagian dengan teliti, penulis juga perlu membina karyanya sedikit demi sedikit.
Perahu tidak akan terbentuk hanya dengan memandang timbunan kayu. Begitu juga sebuah buku tidak akan terhasil hanya dengan menyimpan hasrat untuk menulis. Ada masa perlu diperuntukkan, ada ayat perlu dicuba berulang kali, dan ada bahagian terpaksa dibuang meskipun pada mulanya dianggap penting. Kesempurnaan bukan hadiah yang jatuh dari langit, tetapi hasil daripada kesungguhan yang terus dipelihara.
Dalam konteks ini, disiplin menjadi antara perkara paling sukar untuk dipertahankan. Semangat mungkin menyala pada hari pertama, tetapi perlahan-lahan meredup apabila berhadapan dengan urusan harian, keletihan atau kebuntuan idea. Ada berjanji untuk menulis pada keesokan hari, kemudian menangguhkannya sekali lagi sehingga minggu berganti bulan.
Sikap bertangguh inilah sering memisahkan niat daripada kenyataan. Seseorang boleh menghadiri banyak bengkel, menyertai pelbagai seminar dan mengumpulkan buku panduan penulisan, tetapi semua itu tidak semestinya melahirkan sebuah karya jika ilmu diperoleh tidak diterjemahkan kepada tindakan. Pengetahuan tentang menulis hanya menemukan maknanya apabila seseorang benar-benar duduk dan mula menulis.
Yang penting, penulis tidak menjadikan kesempitan masa sebagai alasan berpanjangan untuk tidak berbuat apa-apa. Jadual yang teratur dapat membantu membina kebiasaan, sementara kebiasaan yang dipelihara akan memudahkan seseorang kembali ke meja penulisan meskipun semangatnya tidak selalu berada pada tahap yang sama.
Dalam kesibukan itu, penulis juga perlu mengelakkan diri daripada terlalu bergantung pada pujian dan sanjungan. Pengiktirafan memang menyenangkan, lebih-lebih lagi apabila karya yang lama diusahakan akhirnya mendapat perhatian. Namun, jika pujian menjadi satu-satunya ukuran kejayaan, penulis akan mudah kehilangan arah apabila berhadapan dengan kesunyian atau kritikan.
Bab dua belas hingga tujuh belas membawa pembaca kepada persoalan menulis, penyiaran, dunia digital, kemampuan bertahan dan usaha menjadi penulis berjaya. Pada peringkat ini, penulisan tidak lagi berhenti pada hubungan antara pengarang dengan manuskripnya. Karya yang telah disiapkan perlu menemukan jalan untuk bertemu dengan pembaca.
Tulisan ialah pemikiran yang diberikan bentuk melalui bahasa. Setiap pilihan kata, susunan ayat dan cara sesuatu persoalan dihuraikan mencerminkan pertimbangan pengarangnya. Apabila karya disebarkan kepada khalayak, pemikiran itu memasuki ruang yang lebih luas. Pembaca mungkin menemukan makna sama seperti dimaksudkan oleh pengarang atau melihat sesuatu dari sudut berbeza.
Bagi penulis mahu menerbitkan karyanya, pemilihan saluran penyiaran perlu diberikan perhatian. Akhbar dan majalah mempunyai keperluan serta kecenderungan tersendiri. Sesebuah rencana yang sesuai untuk halaman pendapat mungkin tidak menepati kehendak majalah sastera, sebagaimana sebuah cerpen memerlukan ruang dan pertimbangan editorial yang berbeza daripada sebuah berita.
Penulis berjiwa besar akan menjadikan pengalaman tersebut sebagai sebahagian daripada pembelajaran. Jika karya ditolak, telitilah sebabnya sekiranya maklum balas diberikan. Jika tiada penjelasan, pertimbangkan kemungkinan untuk menyemak manuskrip atau mencari saluran lain lebih sesuai. Yang penting, kekecewaan tidak dibiarkan memadamkan keinginan untuk terus menghasilkan karya.
Perkembangan dunia digital pula membuka ruang lebih luas kepada penulis. Jika dahulu penerbitan banyak bergantung pada akhbar, majalah dan buku bercetak, kini media sosial turut menyediakan tempat untuk seseorang berkongsi pemikiran, puisi, catatan, ulasan dan pelbagai bentuk penulisan lain.
Facebook, Instagram dan TikTok, misalnya bukan sekadar ruang untuk berhibur atau berhubung dengan kenalan. Platform tersebut juga boleh digunakan untuk membina khalayak pembaca, menguji penerimaan terhadap sesuatu gagasan dan memperkenalkan suara kepengarangan kepada masyarakat. Dalam keadaan tertentu, karya dikongsi secara dalam talian boleh menarik perhatian penerbit atau membuka peluang kerjasama yang sebelumnya sukar dicapai.
Tidak semua tulisan perlu menjadi tular untuk membawa manfaat. Ada catatan dibaca oleh sebilangan kecil orang, tetapi memberikan kesan mendalam kepada mereka. Ada pula karya tidak mendapat sambutan segera, namun tetap mempunyai nilai kerana kejujuran pemikiran dan ketelitian pengolahannya. Ukuran penulisan tidak seharusnya terhenti pada angka, kerana nilai sesebuah karya juga terletak pada makna yang ditinggalkannya.
Pada akhirnya, Rahsia Penulis Berjaya: Menulis Dengan Percaya Diri membawa pembaca kembali kepada hakikat bahawa bakat sahaja tidak mencukupi untuk membina kehidupan sebagai penulis. Bakat mungkin menjadi benih, tetapi benih memerlukan tanah yang sesuai, air, cahaya dan penjagaan yang berterusan sebelum dapat tumbuh menjadi pohon yang teguh.
Begitu juga dengan penulisan. Minat perlu disertai ilmu, keyakinan perlu diperkukuh melalui latihan, dan cita-cita perlu dipandu oleh disiplin. Seseorang boleh memiliki imaginasi yang luas, tetapi tanpa penguasaan bahasa dan kesanggupan menyemak hasil kerjanya, imaginasi itu mungkin tidak dapat disampaikan dengan berkesan kepada pembaca.
Usaha memperkaya diri boleh dilakukan melalui pelbagai jalan. Penulis boleh menyertai persatuan, menghadiri bengkel yang sesuai, membaca karya daripada pelbagai aliran dan berbincang dengan rakan yang mempunyai minat yang sama. Kumpulan perbincangan melalui WhatsApp atau Telegram juga boleh menjadi ruang untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan memberikan sokongan kepada mereka yang sedang menyiapkan manuskrip.
Apa pun bentuknya, kejayaan tidak seharusnya ditentukan semata-mata oleh kemasyhuran atau jumlah buku yang diterbitkan. Penulis perlu mengenali tujuan perjalanannya sendiri sambil tetap terbuka terhadap perubahan dan pembelajaran. Dia tidak perlu mengukur setiap langkah berdasarkan pencapaian orang lain, kerana setiap pengarang mempunyai latar, pengalaman dan jalan yang berbeza.
Daripada satu ayat lahir sebuah perenggan. Daripada perenggan tumbuh sebuah bab. Sedikit demi sedikit, sesuatu yang pada mulanya hanya berdiam di dalam fikiran menemukan bentuknya, lalu bersedia untuk meninggalkan tangan pengarang dan memasuki kehidupan pembaca.
Maka, teruslah menulis. Jangan menunggu sehingga segala-galanya sempurna, kerana kesempurnaan itu sendiri ialah perjalanan yang tidak pernah benar-benar selesai. Peliharalah kejujuran, suburkan ilmu, teguhkan disiplin dan percayalah bahawa setiap usaha yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh mempunyai nilainya sendiri.
Dunia mungkin tidak sentiasa menunggu tulisan kita. Namun, selagi masih ada sesuatu yang perlu difahami, pengalaman yang wajar dikongsikan dan persoalan yang menuntut renungan, selagi itulah penulisan mempunyai tempatnya. Dan selagi tangan masih mampu menulis serta fikiran masih mahu mencari makna, perjalanan seorang penulis belum berakhir.
Selamat menulis, dan semoga perjalanan itu membawa kita bukan sekadar menjadi penulis yang berjaya, tetapi juga manusia yang lebih memahami kehidupan.
Biodata penulis
Marsli N.O mula bergiat dalam dunia penulisan pada 1975 dan terus berkarya sehingga kini. Penglibatannya merangkumi pelbagai genre, termasuk sajak, cerpen, drama, rencana dan kritikan. Beliau pernah dianugerahkan gelaran Munsyi Sastera oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2013.
Antara karya beliau yang dikenali ialah Negeri Ini Anak, sajak ikonik yang sering dideklamasikan dalam pelbagai sayembara di seluruh negara, serta Biduan (1994). Beliau turut menerima Anugerah Penyair Nusantara pada 2015.
Sepanjang penglibatannya dalam dunia penulisan, Marsli pernah menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi sesi 1996/1997, 2000/2001 dan 2013 serta 2018/2019. Beliau turut meraih Hadiah Sastera Kumpulan Utusan pada 1985, 2003, 2010 dan 2012, selain Hadiah Sastera Darul Iman pada 2017, 2019, 2021, 2023 dan 2025. Pada 2025, beliau turut menerima Anugerah Cekal Sastera Negeri Terengganu menerusi Hadiah Sastera Bitara Sastera HASDI VII.
Kini, Marsli N.O merupakan penulis sepenuh masa dan pesara kerajaan yang menetap di Pahang Darul Makmur.
Buku pilihan: Rahsia Penulis Berjaya: Menulis Dengan Percaya Diri
Penulis: Marsli N.O
Cetakan: Pertama, 2026
Penerbit: Smart Forum Resources
Pengulas: Jamly Bin Bahrulddin
Sempena: Baca@AKSARA, Lencongan 2, Kangar, Perlis
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
