VTF Jadi Medan UC TATI Intai Slot Ke Asean University Games

KUALA NERUS – Status sebagai antara pasukan paling muda dalam Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) tidak menghalang UC TATI daripada meletakkan sasaran tinggi untuk melayakkan atlet mereka ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026.

Memasuki musim kedua penyertaan dalam kejohanan berprestij itu, institusi pengajian tinggi dari Kemaman tersebut semakin menunjukkan perkembangan positif, khususnya dalam acara jarak jauh yang kini menjadi identiti pasukan.

Pengurus pasukan, Ahmad Nur Aiman Ahmad Jalani berkata, peningkatan prestasi atlet sepanjang tahun lalu memberikan keyakinan bahawa UC TATI mampu mencabar universiti-universiti yang lebih berpengalaman.

“Kami sedar masih baharu dalam saingan VTF, namun atlet yang ada menunjukkan perkembangan memberangsangkan. Fokus kami sekarang adalah untuk memastikan lebih ramai atlet mencapai standard yang diperlukan bagi membolehkan mereka dipertimbangkan ke AUG.

“Acara seperti 3,000 meter lari berhalangan, 3,000 meter dan 5,000 meter merupakan kekuatan utama pasukan dan kami berharap dapat memanfaatkan kelebihan itu sebaik mungkin,” katanya.

Musim lalu, UC TATI menamatkan saingan di tempat keenam keseluruhan daripada 21 universiti yang mengambil bahagian, satu pencapaian yang dianggap membanggakan bagi pasukan yang masih dalam fasa membina reputasi di peringkat kebangsaan.

Lebih menggembirakan, pasukan itu memulakan kempen VTF 2026 dengan cemerlang apabila meraih dua pingat emas pada siri pertama di Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi acara 3,000 meter lari berhalangan lelaki dan 400 meter lari berpagar lelaki.

Menurut Ahmad Nur Aiman, kejayaan tersebut membuktikan atlet UC TATI memiliki kemampuan untuk bersaing secara konsisten di peringkat universiti.

“Pingat emas yang dimenangi pada siri pertama memberi keyakinan tambahan kepada atlet. Ia juga menunjukkan bahawa program pembangunan yang dilaksanakan berada di landasan yang tepat.

“Kami datang ke siri kedua dengan sasaran untuk meneruskan momentum kemenangan dan menambah pungutan pingat,” katanya.

Pada siri kedua yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), UC TATI mempertaruhkan tujuh atlet dalam beberapa acara dengan harapan dapat mengukuhkan kedudukan keseluruhan pasukan.

Sejak diperkenalkan pada 2022, VTF menjadi platform penting dalam mencungkil bakat olahraga universiti selain berperanan sebagai medan pemilihan atlet ke kejohanan antarabangsa termasuk AUG dan Sukan Universiti Dunia FISU.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *