Wanita Cedera Parah, Kaki Kiri Putus Selepas SUV Terbabas di LPT2

DUNGUN – Seorang wanita cedera parah apabila kaki kirinya putus selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaikinya terbabas dalam kemalangan di Kilometer 341.5, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 5.41 petang itu, mangsa berusia 57 tahun, adalah antara lima individu yang berada dalam sebuah Proton X70 yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuantan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paka, Pegawai Bomba Kanan II Nor Hazamullah Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut sebelum menggerakkan tujuh anggota bersama sebuah jentera ke lokasi.

Menurut beliau, sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan penyelamat mendapati kenderaan berkenaan terbabas dan mengalami kerosakan akibat kemalangan itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang wanita mengalami kecederaan serius apabila kaki kirinya putus dari bahagian bawah lutut.

“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba yang menjalankan operasi menyelamat, manakala bahagian kaki yang terputus turut ditemukan di dalam kenderaan tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah itu kemudiannya diserahkan kepada petugas perubatan sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, empat lagi individu yang berada di dalam SUV berkenaan turut mengalami kecederaan dalam kejadian itu dan dihantar ke hospital yang sama bagi menerima rawatan.

Operasi menyelamat melibatkan anggota bomba, petugas kesihatan dan pihak berkaitan berjalan lancar sebelum tamat selepas semua mangsa berjaya dikeluarkan dan dibawa ke hospital.

Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *