Kerusi Marginal Penentuan Dominasi Kuasa Politik Dalam PRN Johor

Oleh: Muhammad Izmer Bin Yusof

PILIHAN Raya Negeri Johor sering dilihat sebagai makmal politik paling penting di Malaysia selepas PRU14 dan PRU15. Ia bukan sekadar pertarungan merebut kuasa negeri, tetapi menjadi medan ujian kepada perubahan sentimen pengundi Melayu bandar, kestabilan pakatan politik dan kemampuan parti baharu untuk memecahkan dominasi lama.

Dalam konteks menuju PRU16, Johor sekali lagi muncul sebagai pentas utama untuk menguji kekuatan sebenar semua blok politik termasuk Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan kemunculan parti baharu seperti Bersama.

Apa yang menjadikan Johor begitu penting ialah kedudukannya sebagai negeri yang mempunyai gabungan kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar yang hampir menyerupai komposisi politik nasional. Sebab itu keputusan di Johor sering dijadikan petunjuk awal terhadap arah aliran pengundi menjelang pilihan raya umum.

PRN Johor memperlihatkan satu hakikat penting iaitu kemenangan tidak lagi ditentukan oleh jumlah sokongan keseluruhan semata mata, tetapi oleh penguasaan di kerusi marginal.

Dalam sistem pilihan raya yang diamalkan di Malaysia, beberapa ratus undi sahaja mampu mengubah kedudukan sesebuah kerajaan negeri.

Kerusi Marginal Menjadi Rebutan

Berdasarkan keputusan PRN Johor 2022, terdapat sekurang kurangnya 12 kerusi yang boleh dikategorikan sebagai marginal dan separa marginal.

Kerusi tersebut ialah Bukit Pasir yang dimenangi dengan majoriti hanya 198 undi, Tangkak 372 undi, Serom (699 undi), Bukit Kepong (710 undi), Jementah (714 undi), Bukit Naning (1,535 undi), Kemelah (1,611 undi), Kota Iskandar (1,630 undi), Tenang (1,736 undi), Parit Yaani (294 undi), Simpang Jeram (2,399 undi), Maharani (1,037 undi).

Kerusi kerusi inilah yang berpotensi menentukan siapa yang akan menguasai Johor pada pilihan raya akan datang. Jika berlaku perubahan undi antara lima hingga sepuluh peratus sahaja, sebahagian besar kerusi tersebut boleh bertukar tangan.

Dalam erti kata lain, masa depan politik Johor mungkin tidak ditentukan di kerusi selamat, tetapi di kawasan seperti Bukit Pasir, Serom, Bukit Kepong, Maharani dan Parit Yaani.

Cabaran Dalam Parti Dalam senario semasa, cabaran terbesar PH bukan semata mata berdepan BN atau PN, tetapi bagaimana mengurus persepsi terhadap konflik dalaman yang semakin mendapat perhatian umum.

Perbahasan mengenai hala tuju PKR selepas pemilihan parti serta kedudukan Rafizi Ramli telah membuka ruang kepada pelbagai spekulasi politik. Walaupun Rafizi masih mempunyai pengaruh besar dalam kalangan penyokong reformasi dan pengundi bandar, perbezaan pandangan dalam parti boleh menjejaskan keyakinan sebahagian pengundi atas pagar.

Sekiranya sebahagian penyokong PKR mula mencari alternatif baharu, kesannya akan dirasai terlebih dahulu di kerusi marginal.

Kawasan seperti Simpang Jeram, Jementah, Bukit Batu dan Tangkak merupakan antara kawasan PH yang boleh menerima kesan langsung jika berlaku peralihan undi kepada parti baharu.

Dalam masa sama, kemunculan Bersama menambah satu lagi lapisan persaingan dalam politik Johor. Parti baharu lazimnya berdepan cabaran besar untuk menembusi sistem pilihan raya Malaysia kerana kemenangan tidak hanya bergantung kepada populariti tetapi juga kekuatan jentera dan organisasi akar umbi.

Namun, sejarah politik Malaysia menunjukkan parti baharu tetap mampu memberi kesan besar walaupun tidak memenangi banyak kerusi. Cabaran utama Bersama adalah untuk membuktikan bahawa ia bukan sekadar parti serpihan atau parti protes.

Untuk menjadi relevan, Bersama perlu menarik sokongan daripada sekurang kurangnya tiga kelompok utama iaitu pengundi Melayu sederhana yang sebelum ini menyokong UMNO, pengundi reformasi yang menyokong PH, dan pengundi muda yang semakin kecewa dengan parti tradisional.

Sekiranya Bersama berjaya mengambil sebahagian besar undi PH di kawasan bandar dan separa bandar, kerusi seperti Kota Iskandar, Kempas, Permas, Tiram, Simpang Jeram dan Maharani boleh menjadi medan persaingan yang sangat sengit.

Dalam keadaan tertentu, Bersama mungkin tidak menang, tetapi mampu menjadi faktor yang menentukan kemenangan pihak lain melalui perpecahan undi.

Bagi BN pula, cabaran terbesar adalah mengembalikan keyakinan pengundi Melayu. Walaupun BN masih mempunyai jentera paling tersusun di Johor, persoalan mengenai sejauh mana UMNO berjaya memulihkan sokongan Melayu pasca PRU15 belum terjawab sepenuhnya.

Sebahagian pengundi Melayu masih melihat PN sebagai alternatif yang lebih tegas dalam isu identiti Melayu dan Islam. Namun, kelebihan BN ialah keupayaannya memanfaatkan perpecahan lawan.

Jika undi PH, PN dan Bersama berpecah dalam pertandingan empat penjuru, BN boleh mengekalkan banyak kerusi walaupun berlaku sedikit penurunan sokongan.

Sebab itu kerusi seperti Bukit Naning, Kemelah, Kota Iskandar, Tenang, Parit Yaani, Kempas dan Permas akan menjadi medan penting untuk menilai sama ada sokongan Melayu kepada UMNO benar benar pulih atau sekadar bertahan kerana perpecahan lawan.

PN pula tidak terkecuali daripada cabaran dalaman. Hubungan antara PAS dan Bersatu sentiasa menjadi faktor yang diperhatikan umum. Walaupun kedua dua parti berkongsi matlamat jangka pendek yang sama, realiti politik menunjukkan persaingan untuk menjadi parti dominan dalam blok Melayu masih wujud.

Keadaan menjadi lebih menarik dengan spekulasi mengenai parti baharu yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin. Jika benar sebuah platform politik baharu diwujudkan, persoalan utama ialah sama ada ia akan memperkukuh PN atau mewujudkan pusat kuasa baharu yang bersaing dengan PN.

Kedudukan Hamzah dalam politik Melayu akan menjadi antara faktor penting yang menentukan hala tuju pengundi Melayu menjelang PRU16. Sekiranya berlaku peralihan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu akibat faktor Hamzah, PAS, Bersatu atau Bersama, kesannya akan paling ketara di kerusi yang mempunyai komposisi pengundi Melayu yang signifikan.

Ujian Strategi Menghadapi PRU16

Hakikatnya, PRN Johor akan datang bukan sekadar pertandingan antara parti. Ia merupakan ujian terhadap keberkesanan strategi setiap blok politik.

PH perlu membuktikan ia masih mampu mengekalkan kesatuan dalaman. BN perlu membuktikan pengundi Melayu masih mempercayainya. PN perlu membuktikan hubungan PAS dan Bersatu kekal kukuh.

Bersama pula perlu membuktikan ia lebih daripada sekadar parti baharu yang bergantung kepada sentimen semasa.

Kesimpulannya, medan sebenar PRN Johor bukan terletak pada 56 kerusi secara keseluruhan, tetapi tertumpu kepada kerusi marginal dan separa marginal yang menjadi penentu kuasa.

Bukit Pasir dengan majoriti 198 undi, Tangkak (372 undi), Serom (699 undi), Bukit Kepong (710 undi) dan Jementah (714 undi) mungkin kelihatan kecil dari sudut angka, tetapi kerusi kerusi inilah yang berpotensi menentukan sama ada Johor kekal sebagai kubu BN, menjadi gelanggang kebangkitan PH, medan pengukuhan PN atau titik permulaan kepada kemunculan kuasa politik baharu menjelang PRU16.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *