SEREMBAN – Pelaburan kira-kira RM15 juta oleh Maytech Cleanroom Manufacturing Sdn. Bhd. dalam pembangunan kemudahan kilang di Pajam, dekat sini mampu memperkukuh ekosistem industri berteknologi tinggi serta merancakkan pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan.
Pengerusi Jawatankuasa Negeri Industri dan Hal Ehwal Bukan Islam, Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, projek itu bukan sahaja mencerminkan keyakinan pelabur tempatan terhadap keupayaan negeri menyediakan persekitaran pelaburan kondusif, malah menyokong aspirasi menjadikan Negeri Sembilan sebagai hab perindustrian berdaya saing.
Beliau berkata, pembangunan strategik sektor pembuatan berteknologi tinggi penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, selaras dengan visi negeri ke arah status maju, sejahtera dan berpendapatan tinggi.
“Pelaburan ini adalah satu pencapaian penting bukan sahaja kepada syarikat terlibat, malah kepada negeri dalam usaha memperkukuh rantaian nilai industri berteknologi tinggi,” katanya ketika merasmikan pembukaan kilang berkenaan di sini, hari ini.
Menurut Kok Seong, kemudahan itu dijangka mewujudkan kira-kira 100 peluang pekerjaan dalam jangka panjang, merangkumi jawatan mahir dan separa mahir, sekali gus menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja tempatan.
Beliau berkata, inisiatif itu juga seiring usaha kerajaan negeri meningkatkan pembangunan bakat dan menyediakan peluang pekerjaan berkualiti tinggi, khususnya kepada golongan belia.
“Kilang ini akan mengeluarkan pelbagai produk termasuk sistem dan peralatan bilik bersih, panel dinding dan siling modular, pintu khas serta komponen kawalan persekitaran berketepatan tinggi.
“Ia digunakan secara meluas dalam industri seperti semikonduktor, farmaseutikal, bioteknologi dan pusat data yang memerlukan piawaian kualiti tinggi,” katanya.
Kok Seong berkata, pengeluaran produk berkenaan bukan sahaja memenuhi standard antarabangsa, malah membantu memperkukuh rantaian bekalan tempatan serta meningkatkan daya saing negeri di peringkat serantau.
“Dalam landskap industri yang semakin menuntut ketepatan dan piawaian tinggi, kemudahan seperti ini memainkan peranan penting dalam menyokong keperluan tersebut,” katanya.
Beliau turut memaklumkan syarikat itu telah mengembangkan operasi ke pasaran serantau termasuk Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina, sekali gus mencerminkan keupayaan syarikat tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.
Kerajaan negeri, katanya, akan terus komited menyokong pelaburan seumpama itu melalui kerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Negeri Sembilan.
“Usaha ini penting bagi memastikan ekosistem perindustrian terus diperkukuh, selain menggalakkan inovasi serta pertumbuhan perniagaan di negeri ini,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L