KUALA LUMPUR – Ringgit Malaysia diiktiraf antara mata wang berprestasi terbaik di Asia selepas prestasi cemerlang selama dua tahun berturut-turut, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti ekonomi negara kini semakin kukuh dan berkembang, didorong oleh lonjakan pelaburan serta keyakinan berterusan daripada pelabur global.
“Konflik di Asia Barat memberi kesan kepada pasaran global, termasuk kenaikan harga tenaga dan aliran keluar modal dari beberapa negara.
“Namun begitu, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kita menyaksikan aliran masuk dana apabila pelabur global membeli bon Malaysia sebanyak 2 bilion dolar Amerika,” katanya pada majlis pelancaran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan bon Malaysia merekodkan aliran masuk tertinggi mencecah RM9.5 bilion oleh pelabur global dalam tempoh 10 bulan.
Selain itu, katanya, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus tahun lalu, dengan rekod pelaburan tertinggi yang didorong oleh sektor pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa.
Beliau menjelaskan, pencapaian itu adalah hasil komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi dasar, selain penglibatan aktif bersama syarikat serta pengurus dana antarabangsa.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan keupayaan industri tempatan dalam sektor pertahanan, khususnya aeroangkasa dan semikonduktor, yang memainkan peranan penting dalam pengujian serta pembungkusan cip untuk sistem keselamatan.
“Sebahagian syarikat Malaysia kini mempunyai status pembekal Tier 1 kepada pengeluar enjin aero global terkemuka, dengan pengeluaran komponen berteknologi tinggi di negara ini.
“Keupayaan ini mencerminkan budaya ketepatan dan akauntabiliti tinggi yang turut diaplikasikan dalam sektor aeroangkasa pertahanan,” ujarnya.
Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp:https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L