KOTA KINABALU – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengesahkan menerima laporan rasmi berhubung persembahan teater yang didakwa berunsur ‘soft porn’ dalam satu pertandingan seni di Universiti Malaya (UM) sehingga tular di media sosial, baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, berdasarkan laporan itu UM mengakui terdapat beberapa perkara berkaitan sensitiviti dalam persembahan terbabit yang perlu diperbaiki.
Beliau berkata, pihaknya juga mengambil maklum terdapat persoalan ditimbulkan, khususnya orang awam sekiranya tiada garis panduan disediakan dalam mengendalikan sesebuah persembahan teater.
“Pada umumnya, UM menyedari ada beberapa perkara yang ada sensitiviti perlu mereka perbaiki. Ada yang mengatakan apakah ini adalah satu tindakan reaktif atau tidak ada garis panduan yang disediakan.
“Saya mahu jelaskan di setiap universiti mempunyai garis panduan mereka, tetapi ada kalanya apabila sesuatu program (membabitkan) kreativiti (dilaksanakan) dalam kalangan mereka, ia dilihat dari perspektif yang lain.
“Maka langkah-langkah pembetulan perlu dilakukan kerana kita tidak mahu menimbulkan sensitiviti rakyat yang berbilang kaum dalam negara ini,” katanya dipetik Berita Harian selepas sesi tinjauan mesra Program Jom Masuk Universiti 2026 Zon Sabah II (Kota Kinabalu) bertempat di Kompleks Dewan Kuliah Pusat ke 2 Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin dan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor.
Menurut Dr. Zambry, ia bukan hanya membabitkan dari satu kaum, satu agama, tetapi juga melibatkan tatasusila masyarakat di Malaysia.
Oleh itu, katanya, UM sudah pun (memaklumkan menerusi laporan) mengambil langkah untuk memperbetulkan keadaan.
Susulan itu, beliau menasihatkan fakulti berkaitan seni dan kreativiti di semua universiti untuk lebih peka mengenai elemen sensitif dalam menghasilkan karya.
“Kita berharap janganlah sampai kita mengambil tindakan (seperti) menutup fakulti-fakulti berkenaan.
“Saya fikir itu bukan langkah proaktif. Itu lebih bersifat langkah reaktif sehingga kita menganggap bahawa ini adalah satu perkara yang akan mendatangkan masalah besar.
“Kita memperbetulkan dengan panduan yang sedia ada,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L