JASIN – Bekas pemandu bas ekspres dan seorang wanita yang dipercayai kekasihnya ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Lee Robert berkata, lelaki berusia 36 tahun dan wanita berumur 21 tahun itu tiba kira-kira jam 4.30 petang bagi membantu siasatan berhubung tindakan lelaki tersebut meriba kekasihnya ketika memandu bas ekspres di Lebuh Raya Utara–Selatan (PLUS), baru-baru ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur itu telah mengenali wanita dari Kedah tersebut sejak lima bulan lalu dan kedua-duanya dirakam keterangan selama kira-kira dua jam.
Kejadian itu dipercayai berlaku selama beberapa minit di kawasan susur masuk Rehat dan Rawat (R&R) Bemban arah selatan.

Lelaki berkenaan memberi alasan, tindakan tersebut dilakukan kerana wanita itu teruja dan ingin belajar memandu bas.
Tambahnya, lelaki itu mempunyai pengalaman memandu bas selama 10 tahun, manakala wanita berkenaan bekerja sebagai petugas kaunter tiket di sebuah syarikat bas lain.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum ini, media melaporkan kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada 12 April kira-kira jam 7.30 malam, dan rakaman video kejadian itu mula tular pada keesokan harinya sekitar jam 5.30 petang.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L