Indonesia dakwa 127.3 hektar kawasan Pulau Sebatik kini sah miliknya

JAKARTA – Ketua Staf Presiden (KSP), M Qodari, memaklumkan bahawa kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini sah menjadi milik Indonesia.

Qodari berkata, perubahan itu adalah hasil diplomasi berhubung penyelesaian sempadan darat antara Indonesia dan Malaysia.

“Kepantasan menangani isu ini menyaksikan penyelesaian penegasan batas darat wilayah negara Indonesia dan Malaysia di Pulau Sebatik,” katanya dalam sidang media di Kompleks Istana Kepresidenan, Jakarta, pada Rabu.

“Penyelesaian penetapan sempadan di Pulau Sebatik itu adalah bukti kejayaan diplomasi damai yang memperkukuh kedaulatan wilayah Indonesia, apabila garis sempadan baharu dipersetujui.

“Ia menjadikan kawasan seluas 127.3 hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini secara sah menjadi milik Indonesia,” tambah beliau.

Pada masa sama, Qodari berkata penyelesaian sempadan itu turut menyebabkan sebahagian kawasan Indonesia kini termasuk dalam wilayah Malaysia.

Bagaimanapun, kawasan yang ‘terlepas’ itu hanya seluas 4.9 hektar, iaitu lebih kecil berbanding kawasan Malaysia yang kini menjadi milik Indonesia.

“Hanya 4.9 hektar daripada wilayah pada sempadan lama Indonesia kini menjadi sebahagian daripada Malaysia,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Kementerian Dalam Negeri telah menubuhkan pasukan bagi mengira pampasan kepada penduduk Indonesia yang kini menetap di kawasan yang berada dalam wilayah Malaysia itu.

“Menghitung ganti rugi tanah dan lahan masyarakat bergantung kepada penegasan sempadan wilayah di Pulau Sebatik,” katanya. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *