NEW YORK – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Selasa mengeluarkan Laporan Kestabilan Kewangan Global, memberi amaran yang risiko terhadap kestabilan kewangan global semakin meningkat susulan situasi semasa di Asia Barat, lapor Xinhua.
“Sistem kewangan global sedang berdepan konflik berterusan di Asia Barat, potensi tekanan inflasi, peningkatan risiko pengetatan lanjut dalam keadaan kewangan, serta beberapa saluran yang boleh menyebabkan pergolakan pasaran berkembang menjadi ketidakstabilan kewangan,” menurut laporan itu.
Semakin lama konflik berlarutan, semakin besar risiko keadaan kewangan global akan menjadi lebih serius secara mendadak.
Laporan itu turut menyenaraikan beberapa saluran yang boleh menguji daya tahan sistem kewangan dan membawa kepada risiko ketidakstabilan kewangan.
Pertama, peningkatan turun naik pasaran bon boleh mengetatkan pasaran pembiayaan, apabila paras hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang meningkat menyebabkan turun naik hasil bon yang lebih besar.
Kedua, pasaran sedang pesat membangun mungkin menghadapi tekanan terhadap mata wang dan aliran keluar modal apabila strategi “carry trade” berakhir dan terma perdagangan merosot.
Ketiga, pengetatan mendadak keadaan kewangan boleh menyebabkan penjualan paksa oleh dana lindung nilai, penjual opsyen, dana dagangan bursa berumpilan serta perantara kewangan bukan bank (NBFI) lain yang berkembang melalui penggunaan umpilan.
Keempat, tanda-tanda peningkatan kegagalan pembayaran peminjam dalam kredit swasta boleh mencetuskan kebimbangan lebih meluas terhadap kredit korporat, khususnya bagi peminjam berumpilan tinggi yang terdedah kepada gangguan kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, pelaburan pesat dalam AI mungkin akan perlahan dengan ketara jika konflik Asia Barat berterusan.
IMF menggesa pembuat dasar untuk bertindak tegas bagi mengukuhkan daya tahan dalam menghadapi konflik Asia Barat, dengan mencadangkan dasar monetari mengekalkan kestabilan harga serta peka terhadap kesan limpahan daripada inflasi sebenar kepada jangkaan inflasi, sambil kekal bergantung kepada data.
Ia juga mengesyorkan perubahan pendirian fiskal ke arah dasar yang lebih ketat bagi memastikan hutang awam berada pada laluan stabil, dengan perbelanjaan baharu difokuskan kepada melindungi golongan rentan daripada kejutan inflasi.
Menurut laporan itu, menutup jurang data, mempertingkat perkongsian data merentas bidang kuasa, serta memperkukuh pengawasan adalah penting memandangkan NBFI semakin berumpilan dan semakin berkait dengan bank. – BERNAMA-XINHUA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L