BANGKOK – Tiga lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand selepas hampir 97 kilogram methamphetamine jenis kristal ditemui dalam satu operasi keselamatan di atas tren yang dalam perjalanan ke Bangkok.
Menurut Biro Siasatan Pusat (CIB), suspek ditahan selepas pihak berkuasa menemui tiga beg pakaian yang tidak dituntut, dipercayai milik mereka, yang mengandungi dadah tersebut dalam tren dari Nong Khai ke Terminal Pusat Krung Thep Aphiwat.
Operasi berkenaan dijalankan hasil kerjasama beberapa agensi termasuk Kereta Api Negara Thailand (SRT), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Polis Lebuhraya, sebagai langkah memperkukuh keselamatan penumpang serta membanteras aktiviti jenayah dalam perkhidmatan rel negara itu.
“Pegawai rondaan pada 8 April lalu mengesan tiga beg besar berwarna hitam berkunci secara kombinasi diletakkan di rak bagasi dalam sebuah gerabak ketika melalui wilayah Khon Kaen.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada penumpang mengaku memiliki beg itu, sekali gus mendorong siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
CIB memaklumkan kakitangan kereta api kemudian mengesahkan tiga lelaki membawa beg itu menaiki tren di stesen Nong Khai, manakala rakaman CCTV mengenal pasti suspek yang kemudiannya ditemui duduk dalam gerabak sama.
Siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki itu mengaku membawa bagasi berkenaan, namun mendakwa tidak mengetahui kandungannya, sebaliknya diarahkan oleh pihak lain untuk menghantar beg itu ke Bangkok.
“Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat di Balai Polis Phon di Khon Kaen untuk tindakan lanjut,” menurut CIB. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L