Amaran Awal ‘Super El Nino’, Pemanasan Pasifik Cetus Kebimbangan Global

LOS ANGELES – Isyarat awal pemanasan di Lautan Pasifik Tropika mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar iklim mengenai kemungkinan berlakunya fenomena “Super El Nino” yang berpotensi memberi kesan besar kepada cuaca global.

Laporan terbaharu oleh National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) Amerika Syarikat bersama European Centre for Medium-Range Weather Forecasts mengesan peningkatan suhu laut di sepanjang Khatulistiwa yang boleh berkembang menjadi fenomena El Nino luar biasa kuat menjelang hujung tahun ini.

Menurut agensi tersebut, perubahan corak iklim itu berpotensi membawa cuaca lebih lembap dan ribut di Selatan California serta kawasan Barat lain, di samping memberi kesan rantaian kepada musim taufan di Lautan Atlantik dan sistem cuaca hingga ke Asia Tenggara.

Agensi itu mentakrifkan El Nino dan La Nina sebagai fasa bertentangan bagi Ayunan Selatan El Nino (ENSO).

El Nino cenderung mengalihkan laluan ribut musim sejuk ke selatan dan meningkatkan peluang keadaan lebih lembap daripada biasa di Selatan California, manakala La Nina pula sering menolak ribut ke utara serta meningkatkan kemungkinan tempoh kering lebih lama.

Bagi penduduk Selatan California, kebimbangan terbesar bukanlah hujan sehari tetapi ribut berintensiti tinggi berulang kali dibawa El Nino, yang boleh melimpahi sistem saliran dan menyebabkan cerun gersang menjadi tepu air.

Suruhanjaya Pantai California memberi amaran bahawa kesan kebakaran hutan dan rupa bumi yang kering serta curam boleh runtuh dengan cepat.

Ia sekali gus boleh mengakibatkan lumpur, batu dan tumbuh-tumbuhan menggelongsor ke arah komuniti di bawahnya, manakala ribut kencang di laut dalam boleh mendorong ombak berbahaya serta menyebabkan hakisan pantai dan tebing.

Dalam peristiwa El Nino yang lalu, hujan berselang-seli antara ribut lebat dan tempoh kering yang panjang – satu ayunan yang juga boleh merumitkan perancangan mengekang kebakaran hutan.

“Apabila El Nino melonjak ke kategori paling kuat, ia pada dasarnya adalah peringkat tertinggi dalam peristiwa El Nino,” kata pakar meteorologi di Perkhidmatan Hutan AS, Jonathan O’Brien, kepada Los Angeles Times.

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), bagi Selatan California, peristiwa El Nino kuat meningkatkan paras laut dan kerpasan melampau, yang membawa banjir kilat di pesisir pantai serta risiko banjir di kawasan pedalaman sepanjang pantai California.

Tinjauan Geologi California juga memberi amaran bahawa musim sejuk El Nino boleh mengakibatkan taburan hujan melebihi paras normal di Selatan California.

Ia sekali gus membawa kepada peningkatan kejadian gelinciran lumpur, tanah runtuh yang menyekat jalan, dan aliran puing yang membawa bencana susulan hujan lebat El Nino.

Di luar California, Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) menyatakan El Nino memberi impak ketara kepada sistem cuaca di seluruh dunia.

Ia apabila perairan Pasifik yang lebih panas membebaskan haba ke atmosfera, mengalihkan arus jet dan laluan ribut, mengubah peredaran atmosfera di barat Pasifik, melemahkan Peredaran Walker, serta mengalihkan corak perolakan yang boleh mempengaruhi sistem monsun Asia Timur dan Asia Tenggara.

Dengan berbaki beberapa bulan sebelum musim sejuk, atas faktor keselamatan, pegawai awam menggesa penduduk Selatan California untuk bersiap sedia menghadapi cuaca ribut dengan menyemak semula pelan pemindahan bagi kawasan di bawah bekas kebakaran hutan, menyediakan beg pasir dan bekalan kecemasan, serta membersihkan longkang.

Pakar kaji cuaca akan terus menjejaki suhu dan angin Pasifik untuk tanda El Nino semakin menguat, dan sama ada ia akan mencapai tahap ‘super’ yang jarang berlaku yang boleh memburukkan lagi keadaan cuaca melampau.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *