Malaysia Terus Salur Bantuan ke Gaza Walau Tekanan Kos Global Meningkat

Olahan Fatin Sajidah Fathuldin

KAHERAH – Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza meskipun berdepan tekanan ekonomi global serta ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center, Sani Araby Alim Araby berkata, pelaksanaan Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena ke Gaza akan diteruskan sebagai usaha memastikan bantuan kritikal sampai kepada rakyat Palestin yang memerlukan.

Menurut beliau, cabaran utama misi ketika ini termasuk ketidaktentuan ekonomi global seperti turun naik mata wang berbanding dolar Amerika Syarikat serta risiko gangguan rantaian bekalan susulan ketegangan di Selat Hormuz, yang secara langsung meningkatkan kos logistik dan perolehan bantuan.

Menurutnya, organisasi bukan kerajaan (NGO) yang terlibat turut menerima kesan langsung berikutan kebanyakan urusan pembelian dibuat dalam dolar Amerika Syarikat, bukan Ringgit.

“Untuk pihak badan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan dan berkhidmat untuk Gaza ini, kita terkesan langsung apabila kenaikan (kos) berlaku. Pertamanya adalah nilai mata wang yang tidak stabil apabila kita beli semuanya dalam USD, tidak dalam Ringgit. Jadi itu memberi kesan sangat besar kepada pihak NGO,” katanya.

Beliau berkata, kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya konflik lebih besar di peringkat serantau tidak sedikit pun melemahkan semangat delegasi Malaysia untuk menembusi kepungan rejim Zionis.

Misi berkenaan membawa 30 kontena mengandungi 374 tan barangan keperluan yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 penduduk di Gaza.

Selain itu, Sani Araby berkata, walaupun jumlah bantuan itu hanya sebahagian kecil daripada keperluan keseluruhan 2.2 juta penduduk Gaza, ia tetap mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam mempertahankan hak kemanusiaan.

“Sudah sampai masanya saat dunia sedang memasuki tingkat perang, kita patut kuatkan kesatuan negara dengan kita melihat elemen-elemen yang boleh menyebabkan kita berasa bahawa kita mampu berbuat sesuatu, yang membolehkan Palestin merdeka,” katanya.

Misi Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza 2026 anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu turut disertai pengamal media Malaysia termasuk wartawan dan jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *