Olahan: Fatin Sajidah Fathuldin
PADANG BESAR – Fenomena cuaca panas dan kemarau berpanjangan kini memberi tekanan kepada sektor perikanan darat apabila hasil tangkapan nelayan di Empangan Timah Tasoh dilaporkan merosot sehingga 50 peratus.
Timbalan Pengerusi Nelayan Darat empangan tersebut, Abdul Azhar Abdul Aziz berkata, penurunan paras air yang ketara telah mengubah taburan ikan, sekali gus menyukarkan aktiviti penangkapan.
Menurut beliau, ikan kini cenderung berpindah ke kawasan air yang lebih dalam untuk berlindung daripada suhu tinggi, namun lokasi tersebut merupakan zon larangan atas faktor keselamatan, menyebabkan nelayan tidak dapat mengakses sumber tangkapan walaupun permintaan masih wujud.
“Apabila air kering ikan terpaksa mencari tempat lebih dalam yang menjadi kawasan larangan. Nelayan hanya mampu melihat, ada ikan tetapi tidak boleh ditangkap.
“Berdasarkan rekod pendaratan bulanan Jabatan Perikanan setakat minggu ini, hasil tangkapan merosot 50 peratus. Jika dihimpunkan hasil daripada 30 nelayan pada bulan ini, jumlahnya belum mencecah 1,000 kilogram,” katanya.
Abdul Azhar berkata, operasi pembenihan awan baru-baru ini membawa hujan di Padang Besar namun belum mampu meningkatkan paras air empangan.
Menurutnya, kawasan tadahan seluas 20 kilometer persegi memerlukan hujan lebat berpanjangan dan kemarau dijangka berterusan sehingga Ogos.
“Setakat ini, terdapat 30 nelayan sepenuh masa berdaftar di bawah Jabatan Perikanan yang menerima elaun sara hidup RM250 sebulan, manakala 10 lagi nelayan separuh masa,” katanya.
Sementara itu, nelayan, Rosli Ismail, 66, berkata hasil tangkapannya merosot kepada sekitar empat hingga lima kilogram berbanding lima hingga 60 kilogram sebelum ini.
Katanya, selain cuaca panas, kehadiran ikan pemangsa seperti toman turut menjejaskan kelangsungan spesies ikan lain. – BERITA HARIAN
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L