Olahan Siti Khadijah Manudin
KUALA LUMPUR – Di saat konflik Asia Barat semakin memuncak dan kuasa besar saling mengatur langkah, Lubnan tampil dengan pendirian tegas: tidak mahu menjadi medan tambahan kepada peperangan yang bukan dimulakannya. Walaupun gencatan senjata sementara antara Amerika Syarikat dan Iran diumumkan, situasi di lapangan masih jauh daripada stabil — dan Lubnan enggan terheret dalam permainan berisiko tinggi ini.
Duta Lubnan ke Malaysia, Maher Kheir, menjelaskan bahawa negaranya kini berdepan tekanan berlapis — daripada ancaman luar hingga krisis dalaman yang berpanjangan. Ketegangan serantau yang semakin memuncak hanya memburukkan lagi keadaan, menjadikan kestabilan negara berada pada tahap yang rapuh.
Menurut beliau, dalam keadaan yang serba tidak menentu ini, keutamaan Lubnan adalah mempertahankan kedaulatan dan mengelakkan diri daripada dijadikan proksi dalam konflik yang lebih besar. Ketika negara lain terus mengasak dan memperluas pengaruh, Lubnan memilih untuk tidak mengulangi sejarah pahit dengan terjebak dalam peperangan yang boleh menghancurkan masa depannya sendiri.
Menurutnya, walaupun gencatan senjata diumumkan, serangan terhadap Lubnan masih berterusan dengan laporan awal menunjukkan ratusan orang awam terbunuh dan lebih 1,000 lagi cedera dalam tempoh singkat.
Sejak peningkatan semula konflik pada awal Mac, ribuan mangsa dilaporkan terkorban dan cedera akibat serangan yang dikaitkan dengan ketegangan melibatkan kumpulan Hizbullah yang disokong Iran.
Situasi itu turut menyebabkan krisis kemanusiaan semakin buruk apabila lebih sejuta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing, selain kemusnahan infrastruktur dan kawasan perumahan.
Kerajaan Lubnan juga mengambil langkah termasuk mengharamkan aktiviti ketenteraan kumpulan tertentu serta mengusir duta Iran dalam usaha mengelakkan negara itu terus terheret dalam konflik serantau.
Dalam masa sama, beliau menggesa komuniti antarabangsa agar segera menyalurkan bantuan kemanusiaan susulan kekurangan makanan, tempat perlindungan dan bekalan perubatan. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L