KUALA NERUS – Seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun ditemukan rentung selepas rumahnya di Lorong Padang Bola, Kampung Gong Lingai di sini terbakar petang semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Mohd Izwan Hashim berkata mangsa yang masih bujang dipercayai tinggal seorang diri dan menghidap strok, namun mampu berjalan.
“Kami menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.56 petang sebelum jentera digerakkan pada 5.01 petang dan tiba di lokasi pada 5.11 petang. Kebakaran melibatkan sebuah rumah dengan kemusnahan 70 peratus.
“Operasi pemadaman dimulakan pada 5.12 petang menggunakan satu saliran sepanjang 200 kaki (61 meter), satu breeching serta dua pancutan air daripada jentera. Mangsa ditemukan kira-kira 5.40 petang tadi,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mohd Izwan berkata operasi pemadaman berjaya dikawal pada 6.26 petang, dengan sebanyak 28 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus serta Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu terlibat dalam operasi berkenaan.
Beliau berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
