Oleh: Dr. Norhayati Alias

Bahagian Pertama
MENJELANG sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini, muncul seruan di media sosial supaya sambutan diboikot sebagai tanda bantahan terhadap isu Rohingya. Malah, ada mencadangkan supaya mesej atau sepanduk berkaitan isu itu dibawa semasa sambutan di Putrajaya.
Perkembangan ini mendapat perhatian kerajaan apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru agar isu Rohingya tidak dijadikan alasan untuk memboikot sambutan tersebut.
Kenapa agaknya perkara itu timbul di saat bendera Malaysia mula berkibar dengan megah di seluruh negara?
Ia bermula dengan pergerakan merentasi sempadan oleh etnik Rohingya ke Malaysia akibat peperangan dan penindasan di negara mereka.
Persoalannya tidak lagi hanya berkaitan dengan kawalan sempadan. Ia menjadi persoalan tentang kemanusiaan, keselamatan, identiti dan kedaulatan.
Kehadiran mereka pada awalnya telah membangkitkan simpati kerana mereka dilihat sebagai manusia yang dizalimi dan menderita.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Namun lama kelamaan, perasaan rakyat tempatan mula bercampur baur, malah bertukar menjadi sebuah kegusaran dan ketakutan, apabila jumlah etnik itu dilihat semakin besar, sukar dikawal dan mula memberi kesan kepada kehidupan warga tempatan.
Kebetulan pula, pada masa yang sama konflik seumpama itu sedang dirasai oleh penduduk di daerah Ceuta, Sepanyol.
Dalam kedua-dua situasi, reaksi masyarakat jelas bukan statik sebaliknya, telah berpindah daripada belas kasihan kepada kebimbangan, dan daripada memberi pertolongan kepada penolakan.

Imigran di Ceuta, Sepanyol
Dalam perkaitan ini, penulis menyingkap peristiwa kemasukan imigran Maghribi ke di Ceuta, Sepanyol memandangkan penulis sedang berada di negara itu semasa kejadian.
Tragedi kemanusiaan di Ceuta mungkin lebih getir dan kompleks berbanding nasib yang dialami oleh pelarian Rohingya di Malaysia.
Namun, di sebalik perbezaan latar dan geografi, kedua-dua kisah ini berkongsi satu persamaan yang cukup mendalam, iaitu kemerdekaan yang diuji.
Ceuta merupakan sebuah bandar kecil di Sepanyol yang terletak di Afrika Utara, bersempadan dengan Maghribi. Pergerakan imigrasi Maghribi ke Ceuta, bukanlah fenomena baharu, dan krisis imigrasi yang sedang berlaku itu sebaliknya telah berlarutan sejaksekian lama, dan berulang.
Pada Mei 2021 misalnya, ribuan imigran termasuk kanak-kanak memasuki Ceuta secara mendadak, sehingga mencetuskan keresahan dalam kalangan penduduk tempatan.
Pada ketika ini, penduduk dan petugas sempadan berdepan dengan emosi yang bercampur baur, di antara aspek kemanusiaan, tugasan dan undang-undang. Di antara rasa simpati dan kebimbangan, manakala sebahagian yang lain pula menunjukkan sikap penentangan.
Pelbagai imej dipaparkan di media termasuk anggota Guardia Civil, sebuah pasukan keselamatan yang ditugaskan mengawasi sempadan maritim dan daratan, dan pada masa yang sama terpaksa menyelamatkan manusia yang cuba menyeberanginya.
Dalam krisis itu, cerita mengenai anggota penyelam khas Guardia Civil yang menyelamatkan seorang bayi yang dibawa ibunya melalui laut berleluasa di media dan meruntun hati masyarakat.
Keadaan bayi yang berada dalam keadaan sangat lemah dan kesejukan sebelum diserahkan kepada petugas perubatan antara paparan yang telah meruntun jiwa sesiapa sahaja yang melihatnya.
Dalam situasi tersebut, persoalan tentang kewarganegaraan hilang di sebalik persoalan paling asas; iaitu bagaimana menyelamatkan sebuah nyawa?
Gambaran yang sama dapat dilihat melalui sukarelawan Cruz Roja (badan sukarelawan Sepanyol) yang memeluk imigran ke darat yang kelihatan dalam keadaan longlai.
Gambar-gambar seperti itu menjadi simbol kemanusiaan dan turut meraih sokongan masyarakat, namun pada masa yang sama turut menerima kritikan dan kemarahan di media sosial.
Satu imej yang sama akhirnya menjadi medan pertarungan di antara dua naratif: “mereka ialah manusia yang perlu dibantu” dan “mereka ialah orang luar yang telah memasuki ruang kita”.
Namun, simpati tidak semestinya bermaksud penerimaan tanpa syarat. Apabila ribuan manusia tiba serentak, persoalannya sedikit demi sedikit bertukar. Penduduk mula memikirkan mengenai keselamatan, makanan, tempat tinggal dan tempoh keberadaan mereka.
Seorang bayi yang hampir lemas mudah mengundang simpati, namun ribuan manusia yang berada di persisir pantai pula menimbulkan rasa gusar, iaitu sebuah bandar yang dahulunya bahagia, kini sedang kehilangan kendalinya. Penduduk mengeluh dan membantah, malah perdebatan berlangsung tanpa penamat.
Penduduk bertindak

Perkembangan di Ceuta pada 28 Ogos lepas menjadikan transisi tersebut lebih jelas. Selepas berlakunya sekali lagi kemasukan besar-besaran pendatang dari Maghribi, sebahagian penduduk Ceuta mula bertindak secara agresif.
Mereka bertindak menyelesaikan sendiri masalah itu, apabila mendakwa suara mereka tidak didengari oleh pemimpin negara, Pedro Sanchéz, yang dikatakan gagal menangani masalah yang mereka hadapi, malah pemimpin itu dilaporkan pergi bercuti dan meninggalkan mereka dengan masalah yang tidak menemui jalan penyelesaian.
Media tempatan dipenuhi dengan berita mengenai kemusnahan dan pembakaran khemah oleh penduduk Ceuta. Selain itu, mereka menghalang bantuan makanan yang dibawa oleh pasukan sukarelawan Cruz Roja.
Tindakan mereka mencetuskan pelbagai reaksi, namun dari pemerhatian penulis, majoriti masyarakat menyokongnya kerana menurut mereka tiada pilihan lain demi mengembalikan keamanan bandar yang mereka diami.
Situasi itu bertitik tolak dari ketibaan secara besar-besaran penduduk Maghribi berjumlah lebih 70,000 orang ke Ceuta, sebuah bandar kecil pada penghujung Julai lepas dalam tempoh yang singkat.
Walaupun selepas beberapa hari, sebahagian besar daripada mereka kembali ke Maghribi, namun ribuan masih berada di bandar itu. Bagi sebuah bandar yang mempunyai sekitar 85,000 penduduk, kemasukan pada skala sedemikian bukan sekadar statistik.
Ia menyaksikan perubahan fizikal: pantai, jalan dan ruang awam dalam sekelip mata yang kini dipenuhi orang asing di setiap ruang bandar itu.
Kedai-kedai ditutup dan menyebabkan penduduk setempat sukar mendapatkan bekalan, selain mengambil keputusan untuk tidak membenarkan anak-anak ke sekolah kerana bimbang dengan keselamatan mereka.
Etnik Rohingya di Malaysia
Kehadiran etnik Rohingya di Malaysia dikatakan bermula sejak tahun 1990-an. Pada 2004, United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) merekodkan kira-kira 10,000 Rohingya berada di Malaysia. Namun, krisis bot pada tahun 2015 menjadikan penderitaan mereka begitu dekat dijiwa masyarakat.
Gambar manusia terapung di laut, kelaparan dan tiada hala tuju mewujudkan gelombang simpati dari rakyat Malaysia, sehingga lagu Selamat Malam Rohingya dicipta sebagai tanda solidariti dan kasih rakyat Malaysia kepada mereka. Rakyat Malaysia berganding bahu menghulurkan makanan, pakaian dan ubat-ubatan.
Namun, simpati tersebut tidak kekal sebagai satu pendirian yang seragam. Sedikit demi sedikit, persepsi dan rasa masyarakat beralih dan berubah, dari penerimaan, perlahan-lahan ia telah berubah kepada penolakan.
Perubahan persepsi di Malaysia menjadi lebih jelas pada tahun ini. Namun, setakat apa yang diperhatikan, reaksi anti-Rohingya di Malaysia masih tertumpu kepada luahan dan hantaran-hantaran yang dibuat di media sosial.
Terdapat juga sejumlah petisyen agar kerajaan menghantar mereka semula ke negara asal, termasuk tekanan politik. Namun, tiada keganasan terbuka secara berkumpulan seperti pembakaran penempatan dan sekatan bantuan berbanding apa yang dilaporkan di Ceuta.
Di antara kemasukan besar-besaran dan beransur-ansur
Salah satu sebab penting bagi perbezaan tersebut adalah cara kemasukan itu dialami oleh penduduk. Di Ceuta, kemasukan imigran secara tidak sah itu berlaku secara besar-besaran, mendadak dan dilihat sendiri oleh penduduk tempatan.
Puluhan ribu manusia muncul dalam ruang yang mempunyai populasi jauh lebih kecil. Penduduk menyaksikan pantai dan kawasan awam mereka “ditawan”.
Di Malaysia pula, kehadiran Rohingya berkembang secara beransur-ansur dan tersebar di kawasan bandar, pasar dan tempat-tempat tertentu sebagai perkampungan mereka.
Perbezaan skala dan kesaksian di depan mata secara terbuka dapat menjelaskan mengapa ketakutan dan tindakan yang diambil oleh kedua-dua negara berbeza.
Di Ceuta, imigrasi menjadi pengalaman kolektif yang sangat jelas, iaitu ia berlaku di depan mata penduduk yang menyaksikan sendiri para pendatang berlari bertempiaran memasuki bandar mereka diami.
Di Malaysia pula, imigrasi menjadi pengalaman yang lebih dirasai melalui penceritaan, pengalaman masyarakat setempat dan media sosial.
Namun, kedua-duanya menimbulkan kegusaran, tetapi saluran dan bentuknya nyata berbeza.
Bersambung
—
Dr Norhayati Alias berkhidmat di Unit Bahasa Asing dan Terjemahan, Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.
Penulis berada di Sepanyol dari 3 Julai hingga 7 Ogos kerana mengikuti Program Pemantapan Profesional Bahasa Sepanyol yang ditaja oleh Fundacion Deques de Soria dan Carloa V Education, Sepanyol.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
