Malaysia Tegas Bantah Pencerobohan Kompleks Al-Aqsa Oleh Pemimpin Israel

Olahan Fatin Sajidah Fathuldin

PUTRAJAYA — Malaysia menyuarakan bantahan keras terhadap tindakan seorang menteri Israel yang memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis Timur, yang dilihat sebagai satu provokasi serius terhadap sensitiviti umat Islam.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa insiden tersebut berlaku ketika jemaah Islam tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan, sekali gus disifatkan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Tindakan melulu seperti itu bukan sahaja menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau, malah menghina kesucian tapak suci umat Islam serta mencabul hak beragama di seluruh dunia.

“Malaysia menekankan bahawa perlindungan serta penghormatan terhadap Masjid Al-Aqsa dan tapak suci lain di Baitul Maqdis adalah kewajiban yang tidak boleh dirunding di bawah undang-undang antarabangsa,” jelas kenyataan tersebut.

Susulan insiden itu, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk bangkit mengecam tindakan agresif Israel serta menuntut rejim berkenaan mematuhi sepenuhnya undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Sehubungan itu, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa mengecam tindakan Israel dan menuntut agar semua tindakan agresif dihentikan serta kesucian tapak suci dihormati sepenuhnya.

Menurut kementerian itu, langkah konkrit perlu diambil bagi mencegah pelanggaran selanjutnya dan memastikan tapak suci di Baitul Maqdis kekal selamat serta boleh diakses oleh semua penganut.

Malaysia turut menegaskan solidariti berterusan terhadap rakyat Palestin serta komitmen menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *