Olahan Fatin Sajidah Fathuldin
PUTRAJAYA — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meningkatkan usaha penguatkuasaan dengan membuka 36 kertas siasatan berhubung penyebaran maklumat tidak sahih berkaitan krisis tenaga global yang tular di pelbagai platform media sosial.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, seramai 22 individu dari seluruh negara telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan. Langkah ini diambil bagi memastikan penyebaran maklumat palsu dapat dibendung serta tidak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
“Sebanyak enam kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian dan tindakan selanjutnya,” jelas kenyataan itu.
Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Menurut MCMC, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai sehingga mampu mencetuskan panik berhubung isu bekalan tenaga global.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi untuk menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam,” tegas MCMC. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L