KUALA LUMPUR – Eckem Holdings Bhd, yang menjalankan aktiviti pembuatan dan perdagangan produk getah, memeterai taja jamin dengan M & A Securities Sdn Bhd menjelang penyenaraiannya ke Pasaran ACE.
M & A akan bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) Eckem ini.
Menurut Eckem, hasil IPO akan disalurkan secara strategik untuk pembinaan fasiliti tempatan baharu yang merangkumi pejabat korporat, gudang dan makmal baharu.
Selain itu, dana berkenaan turut digunakan untuk pengembangan barisan pengeluaran baharu bagi segmen produk getah Kumpulan.
Sebahagian daripada hasil IPO juga akan diperuntukkan bagi tujuan pembayaran balik pinjaman bank dan keperluan modal kerja, manakala selebihnya digunakan untuk menampung anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Eksekutif Eckem Tan Khai Jeik berkata pemeteraian taja jamin itu sebagai langkah yang tepat dalam melonjakkan potensi perniagaan.
“IPO ini akan membolehkan kami mengukuhkan keupayaan operasi kami, mengembangkan infrastruktur kami dan meletakkan Eckem Holdings untuk fasa pertumbuhan seterusnya,” kata beliau.
IPO tersebut merangkumi terbitan awam sebanyak 125.00 juta saham baharu dan tawaran jualan sejumlah 62.50 juta saham sedia ada.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 31.25 juta saham baharu, mewakili 5.00 peratus daripada modal saham terbitan Kumpulan yang diperbesarkan, ditawarkan kepada Awam Malaysia.
Pecahan ini merangkumi 2.50 peratus untuk pelabur awam, manakala baki 2.50 peratus lagi dikhaskan untuk pelabur awam Bumiputera.
Seterusnya, sejumlah 15.63 juta saham baharu, bersamaan 2.50 peratus daripada modal saham terbitan Kumpulan yang diperbesarkan, diperuntukkan khusus bagi penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Terdapat juga tawaran untuk penjualan 62.50 juta saham sedia ada, atau 10.00 peratus daripada modal saham terbitan Kumpulan yang diperbesarkan, melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang turut mendapat kelulusan MITI.
Baki saham baharu selebihnya diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja layak serta pelabur terpilih.
Di bawah terma perjanjian taja jamin, M & A Securities akan menaja jamin 62.50 juta saham, yang terdiri daripada saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia dan individu yang layak melalui peruntukan borang merah jambu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L