Perginya Abdul Gani Patail, tokoh perundangan kendali kes berprofil tinggi

KUALA LUMPUR – Sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat dalam bidang perundangan, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail adalah figura penting dalam beberapa kes berprofil tinggi yang mencuri perhatian, sekali gus meletakkan namanya antara tokoh utama dalam landskap perundangan negara.

Abdul Gani pernah mengendalikan kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Joseph Pairin Kitingan pada 1993 dan kumpulan pemberontak Al-Ma’unah pada 2000.

Anak kelahiran Lahad Datu, Sabah itu pernah mengetuai pasukan pendakwaan membabitkan 30 individu termasuk warga Filipina yang didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong serta terbabit dalam pelbagai kegiatan keganasan di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Abdul Gani yang memegang jawatan Peguam Negara selama 13 tahun bermula 2002 hingga 2015 menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital swasta malam tadi akibat jangkitan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang mengesahkan berita duka itu turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. 

“Seluruh warga Jabatan Peguam Negara (AGC) mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT,” kata Mohd Dusuki ketika dihubungi.

Abdul Gani juga terlibat dalam pasukan pendakwaan bagi kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Beliau turut mengetuai pendakwaan dalam kes bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik atas pertuduhan menipu Kerajaan Malaysia berhubung skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melibatkan pembelian tanah di Pulau Indah membabitkan RM1.08 billion pada 2010.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Selain itu, Abdul Gani mengendalikan pendakwaan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo atas kesalahan rasuah berkaitan pembelian hartanah.

Abdul Gani turut mengetuai pasukan pendakwaan untuk kes bekas Pengarah Urusan Perwaja Rolling Mill and Development Sdn. Bhd., Tan Sri Eric Chia Eng Hock atas tuduhan melakukan pecah amanah jenayah membabitkan wang berjumlah RM76.4 juta, selain mengendalikan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam.

Abdul Gani yang dilahirkan pada 6 Oktober 1955 memulakan kerjaya dalam bidang kehakiman pada 1980 sebelum berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara, Tawau, Sabah.

Beliau adalah rakyat Sabah pertama memegang jawatan itu selepas pejabat Peguam Negara Persekutuan ditubuhkan di negeri berkenaan.

Sepanjang kerjaya, Allahyarham memegang beberapa jawatan penting, antaranya Ketua Jabatan Pendakwaan Sabah pada 1991, Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara dari 16 Januari hingga 14 Oktober 1994 serta Ketua dan Penasihat Bahagian Antarabangsa dari 1 April 1995 hingga 31 Mei 1997.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang dari 1997 hingga 2000 sebelum kembali menerajui Ketua Bahagian Pendakwaan pada 1 Februari 2000. 

Pada 19 November 2001, Abdul Gani dilantik sebagai Peguam Negara kelapan dan secara rasmi memegang jawatan itu pada 1 Januari 2002, sekali gus mencipta sejarah sebagai graduan undang-undang tempatan pertama dilantik ke jawatan berkenaan serta rakyat Sabah pertama yang memegang antara jawatan tertinggi dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Pelantikan itu adalah satu pencapaian besar dalam perjalanan kerjaya perundangan beliau yang menyaksikan Allahyarham menerajui institusi perundangan tertinggi negara selama lebih 13 tahun sebelum perkhidmatannya sebagai Peguam Negara ditamatkan berkuat kuasa 27 Julai 2015 atas faktor kesihatan.

Bagaimanapun, beliau terus berkhidmat sebagai pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan hingga mencapai umur persaraan wajib pada 6 Oktober 2015.

Allahyarham turut menyumbang kepakaran dan pengalamannya dalam bidang perundangan menerusi pelbagai tanggungjawab lain, termasuk sebagai ahli Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) selama dua tahun bermula 1 Oktober 2011, selain memegang jawatan Pengerusi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pada 23 Disember 2016, beliau diterima masuk sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya. – BERNAMA

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *