KUALA LUMPUR – PSP Energy Bhd, penyedia penyelesaian bahan api komersial, bunkering dan pelincir di Malaysia, menyertai Program Pampasan Karbon Shell (CCP) 2026 menerusi pemeteraian perjanjian di Menara Shell hari ini.
Bagi sektor berat yang masih bergantung kepada diesel, peralihan sepenuhnya kepada alternatif rendah karbon dilihat sukar dilaksanakan dalam jangka masa terdekat. Justeru, langkah ini mencerminkan pendekatan praktikal syarikat dalam menyeimbangkan keperluan operasi dengan tanggungjawab alam sekitar.
Kerjasama itu menggariskan komitmen PSP Energy untuk menyokong amalan operasi yang lebih lestari serta mengurangkan impak pelepasan gas rumah hijau yang berkait rapat dengan penggunaan bahan api dalam aktiviti harian.
Melalui program berkenaan, pelanggan diberi pilihan untuk mengimbangi pelepasan karbon kitaran hayat daripada penggunaan bahan api mereka. Pihak Shell akan mengira jumlah pelepasan, seterusnya membeli dan menamatkan kredit karbon bagi pihak pelanggan.
Ketelusan program ini disokong melalui pelaburan dalam portfolio projek berasaskan alam semula jadi di peringkat global, selain pengeluaran sijil persaraan sebagai bukti pengimbangan karbon yang telah dilaksanakan.
PSP Energy sebelum ini turut menyertai inisiatif sama apabila menerima sijil persaraan kredit karbon pada Januari 2024, melibatkan 729 kredit karbon bagi mengimbangi pelepasan berkaitan produk pada tahun 2023.
Pengarah Urusan Kumpulan PSP Energy, Ong Chee Seng, berkata perjanjian ini menjadi pencapaian penting dalam perjalanan kemampanan syarikat.
“Sebagai organisasi dalam sektor bahan api dan marin, kami mengakui penyahkarbonan adalah proses beransur-ansur yang memerlukan penyelesaian praktikal dan berskala,” katanya.
Beliau menambah, pendekatan pampasan karbon membolehkan syarikat mengurus pelepasan secara bertanggungjawab sambil mengekalkan kecekapan operasi serta memenuhi keperluan pelanggan.
Inisiatif seumpama ini semakin relevan dalam sektor seperti pengangkutan, marin, perindustrian, logistik, pembinaan dan perlombongan yang memerlukan penyelesaian penyahkarbonan tanpa mengganggu kesinambungan operasi.
Ditubuhkan pada 2010, PSP Energy menyasarkan untuk terus mengembangkan kehadirannya dalam rantaian nilai minyak dan gas hiliran, selain memperkukuh komitmen terhadap pembangunan tenaga yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L