Madani Mart — Siapa Untung, Siapa Terhimpit?

Dari Meja Editorial

BILA Madani Mart mula dilancarkan, nadanya cukup indah. Kononnya inisiatif ini hadir untuk membantu rakyat menghadapi kos sara hidup yang makin menekan.

Harga lebih rendah, akses lebih mudah dan semangat “Madani” yang dibawa sebagai solusi. Namun, seperti biasa di sebalik slogan yang manis, realiti pelaksanaan sering kali jauh lebih kompleks.

Pada awalnya, Fuziah Salleh tampil memberi penjelasan Madani Mart bukanlah versi baharu Kedai 1Malaysia. Alasannya mudah: kerajaan tidak mengeluarkan modal.

Secara logiknya, hujah ini cuba membezakan pendekatan lama dengan model baharu, seolah ingin menegaskan ini bukan projek kerajaan sepenuhnya, tetapi satu bentuk kerjasama atau inisiatif lain.

Namun, belum sempat orang ramai menghadam penjelasan itu, muncul pula kenyataan bahawa Madani Mart sebenarnya berada di bawah Yayasan Madani.

Di sinilah cerita mula menjadi kabur. Yayasan ini bukanlah satu entiti yang jelas kepada orang awam. Tiada banyak maklumat terbuka, tiada penerangan terperinci mengenai struktur, peranan atau sumber kewangannya.

Lebih menarik, apabila diketahui antara ahli lembaga pengarahnya termasuk individu yang sama yang mempertahankan projek ini, persoalan mengenai konflik kepentingan mula berlegar.

Dan, kemudian muncul satu lagi lapisan cerita iaitu pemegang lesen Madani Mart perlu membayar royalti kepada Yayasan Madani.

Di sinilah logik ekonomi mula “berkerut”.

Kita ambil satu langkah ke belakang. Industri runcit bukanlah industri yang margin keuntungannya besar. Malah, pemain besar seperti Mydin sendiri pernah mengakui margin bersih sekitar 5 peratus sahaja. Itu untuk skala besar, dengan kelebihan pembelian pukal dan rangkaian bekalan yang efisien.

Bagaimana pula dengan pengusaha kecil atau sederhana yang memegang lesen Madani Mart?

Kalau 5 peratus itu pun sudah dikira tipis, bayangkan pula bila perlu membayar royalti. Itu belum kira kos operasi lain seperti sewa, elektrik, gaji pekerja, logistik dan kemungkinan kerugian akibat barangan rosak atau tidak terjual.

Dalam keadaan harga barang pula “dikawal” supaya kekal rendah demi menjaga imej membantu rakyat, ruang untuk bernafas semakin sempit.

Ini bukan teori. Rangkaian seperti 99 Speedmart pun terpaksa memikirkan cara tambahan untuk menjana pendapatan, termasuk menjual kotak terpakai. Itu syarikat besar, dengan sistem yang sudah matang. Jika pemain besar pun perlu kreatif untuk kekal untung, bagaimana pula nasib pengusaha kecil di bawah skim Madani Mart?

Akhirnya, persoalan yang timbul bukan lagi soal niat, kerana niat membantu rakyat itu baik dan wajar disokong. Tetapi persoalannya ialah reka bentuk sistem itu sendiri.

Jika pengusaha ditekan dengan kos tambahan seperti royalti, mereka ada beberapa pilihan sahaja:

  1. Menyerap kos dan menerima keuntungan yang sangat kecil (atau hampir tiada),
  2. Mencari jalan lain untuk menambah pendapatan (yang mungkin menjejaskan konsep asal), atau
  3. Menarik diri apabila perniagaan tidak lagi mampan.

Ketiga-tiga pilihan ini tidak selari dengan matlamat jangka panjang mana-mana inisiatif ekonomi.

Lebih membimbangkan, kekaburan mengenai Yayasan Madani membuka ruang kepada persepsi negatif. Dalam era sekarang, persepsi hampir sama penting dengan realiti. Tanpa ketelusan siapa mengawal, bagaimana dana diurus, ke mana perginya royalti, sekali gus kepercayaan awam akan terhakis sedikit demi sedikit.

Dan, bila kepercayaan hilang, apa sahaja inisiatif yang baik sekalipun akan dipandang sinis.

Madani Mart sepatutnya menjadi simbol keprihatinan terhadap rakyat. Tetapi jika struktur di belakangnya tidak jelas dan beban dipindahkan kepada pengusaha kecil, ia berisiko menjadi satu lagi eksperimen yang gagal mencapai tujuan asal.

Mungkin sudah tiba masanya pihak yang merangka projek ini tampil dengan penjelasan yang lebih jujur dan terperinci. Bukan sekadar kenyataan umum, tetapi angka, struktur dan justifikasi yang boleh difahami oleh semua termasuk pemain industri runcit yang tahu betapa sukarnya untuk bertahan dengan margin sekecil itu.

Kerana akhirnya, soalan paling mudah tetap belum terjawab:

Jika rakyat mahu harga murah dan pengusaha perlu bayar royalti, siapa sebenarnya yang menanggung beban dan siapa pula yang menikmati hasilnya?

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *