Guru Ceriakan Sekolah dengan Seni Ukiran Simen

Oleh: Abd. Ghaffar Daud

RANTAU PANJANG – Kreativiti seorang guru di Maahad Muhammadi Rantau Panjang (MMRP) dalam menceriakan persekitaran sekolah terserlah apabila beliau memanfaatkan masa terluang menghasilkan kolam ikan berukiran simen yang unik, menyerupai batu bukit semula jadi.

Kolam tersebut dibina di dewan terbuka berhampiran laluan utama ke pejabat sekolah, sekali gus menjadi tarikan baharu kepada warga sekolah dan pengunjung.

Guru berkenaan, Wan Mohd Yusof Wan Mohd Nor yang dilantik sebagai guru keceriaan sekolah kira-kira dua tahun lalu, menunjukkan komitmen tinggi dalam memperindahkan kawasan sekolah hasil minat mendalam terhadap seni ukiran kreatif.

Menurut beliau, minat itu bermula apabila berjaya menyiapkan kolam ikan pertama di pekarangan rumahnya sebelum memberanikan diri mengembangkan bakat tersebut di sekolah.

“Saya bermula di rumah, dan jiwa saya menjadi lebih tenang apabila dapat menyiapkan hasil seni bina yang unik dan kreatif,” katanya.

Selain kolam ikan, beliau turut menghasilkan pelbagai elemen lain seperti pasu bunga bercorak kayu, tapak mercu tanda sekolah serta pembinaan dua tiang di kiri dan kanan pentas.

Menariknya, projek-projek tersebut tidak melibatkan kos yang tinggi kerana sebahagian besar modal diperoleh melalui sumbangan warga sekolah termasuk guru-guru dan kakitangan, di samping penggunaan bahan secara berhemah.

Mengulas tempoh pembinaan, beliau berkata ia bergantung kepada keluasan projek, jumlah pembantu serta masa terluang tanpa menjejaskan tugas hakikinya sebagai pendidik.

Tambahnya, setiap projek turut dibantu oleh dua tukang kebun sekolah serta beberapa guru lain yang berminat, sambil mempelajari teknik bancuhan simen dan campuran cat bagi menghasilkan efek batu tiruan yang kelihatan seperti batu sebenar.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *