KOTA KINABALU – Oiltek International Ltd. (Oiltek), syarikat tersenarai di Papan Utama Bursa Singapura, memeterai Perjanjian Prinsip bersama BioSeaga Industries Sdn. Bhd. bagi membangunkan kemudahan biopenapisan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) berskala besar di Sabah dengan nilai pembangunan dianggarkan AS$350 juta (RM1.65 bilion).
Projek tersebut yang dirancang mempunyai kapasiti awal sekitar 300 tan metrik sehari akan menggunakan Effluen Kilang Minyak Sawit (POME) dan Minyak Masak Terpakai (UCO) sebagai bahan mentah utama.
Kemudahan ini direka sebagai biopenapisan modular yang fleksibel serta boleh diskala, selaras dengan permintaan global terhadap bahan api rendah karbon.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, anak syarikat milik penuh Oiltek, Oiltek Sdn. Bhd. (Oiltek Malaysia) telah dilantik sebagai rakan kongsi eksklusif bagi kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
Skopnya merangkumi pembangunan kemudahan pra-rawatan, loji pengeluaran SAF, ladang tangki, infrastruktur logistik serta kemudahan pencampuran separa.
Selain itu, Oiltek Malaysia turut diberikan hak penolakan pertama untuk mengambil bahagian dalam sebarang pelaburan ekuiti atau peluang pemilikan berkaitan projek ini dan fasa pengembangannya pada masa hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, Oiltek sedang merancang penyenaraian sekunder di Bursa Malaysia dan telah melantik M&A Securities Sdn. Bhd. sebagai penasihat bagi pelaksanaan tersebut.
Fasa pertama projek dijangka bermula pada suku keempat 2026, dengan potensi pengembangan ke arah pengeluaran bahan api termaju termasuk hidrogen hijau dan derivatif tenaga rendah karbon lain.
Apabila siap, kemudahan ini dijangka meletakkan Sabah sebagai antara pusat utama pengeluaran SAF di rantau ini, sekali gus menyokong usaha penyahkarbonan industri penerbangan global.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Oiltek, Henry Yong Khai Weng berkata, projek itu akan mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan dalam rantaian nilai SAF yang berkembang pesat.
“Projek ini adalah peluang strategik penting bagi kumpulan untuk memanfaatkan keupayaan EPCC sedia ada serta pengalaman dalam rantaian nilai SAF, khususnya dalam melaksanakan pembangunan berskala besar yang bernilai komersial,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L