TEHRAN – Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya yang merupakan markas bersepadu Angkatan Tentera Iran, semalam mendakwa empat pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) ditembak jatuh di ruang udara tengah negara ini ketika AS melaksanakan misi menyelamatkan seorang juruterbangnya di Iran, lapor Xinhua.
Jurucakap markas itu, Ebrahim Zolfaghari berkata, ia membabitkan dua pesawat pengangkut tentera C-130 Hercules dan dua helikopter Black Hawk, menurut agensi berita rasmi IRNA.
Beliau berkata, pesawat terbabit disasarkan dalam operasi bersama pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), tentera darat, pasukan sukarelawan Basij dan penguat kuasa undang-undang di selatan wilayah tengah, Isfahan.
Zolfaghari mendakwa operasi menyelamat dikatakan AS itu ‘yang dirancang sebagai operasi helah dan melarikan diri dengan menggunakan dalih mahu menyelamatkan juruterbang pesawatnya yang ditembak jatuh di sebuah lapangan terbang terbiar di selatan Isfahan’, bagaimanapun berakhir dengan kegagalan sepenuhnya susulan kehadiran angkatan tentera Iran tepat pada masanya.
BERNAMA-XINHUA melaporkan Zolfaghari turut mendakwa Presiden AS, Donald Trump ‘cuba mempertahankan kekalahan pahit dan kegagalan tentera AS dengan menimbulkan kekeliruan terhadap pendapat awam’.
Pada Jumaat lalu, IRGC memaklumkan sistem pertahanan udaranya telah menembak jatuh sebuah jet pejuang F-35 milik AS di ruang udara tengah Iran, namun nasib juruterbang pesawat itu tidak diketahui.
AS kemudian mendakwa pihaknya telah menyelamatkan seorang daripada juruterbang jet pejuang yang ditembak jatuh itu, selain operasi menyelamat sedang dijalankan untuk mencari dan membawa pulang seorang lagi juruterbang.
Semalam, Trump dalam hantaran melalui Truth Social mendakwa tentera AS telah melaksanakan ‘antara operasi mencari dan menyelamat paling berani dalam sejarah AS’.
Trump berkata, juruterbang kedua telah diselamatkan dan berada dalam keadaan selamat.
Dalam perkembangan berasingan, seorang komander kanan tentera Iran maut dalam serangan AS-Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA), semalam, memetik media Iran.
Komander itu dikenal pasti sebagai Brigedier Jeneral Masoud Zarei yang juga ketua Kolej Pertahanan Udara tentera di Shahin Shahr, menurut agensi berita Iran Mehr sebagaimana dilaporkan BERNAMA-ANADOLU.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L