Oleh: Abd. Ghaffar Daud
RANTAU PANJANG – Dua rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Gual To’ Deh, dekat sini, kira-kira jam 3 petang semalam.
Kejadian itu melibatkan kediaman milik Jusoh Awang Hitam dan Siti Aishah Ibrahim apabila api dipercayai dikatakan bermula dari tingkat satu rumah kayu separuh dua tingkat milik Jusoh sebelum marak dengan pantas dalam tempoh 15 minit.
Menurut Jusoh, ketika kejadian beliau bersama isteri sedang tidur sebelum dikejutkan oleh jeritan cucu lelakinya berusia 11 tahun yang ternampak api sedang marak di bahagian tingkat atas rumah.
“Api dari rumah kayu separuh bertingkat itu marak dengan cepat kerana kebanyakan barang seperti pakaian dan perabot disimpan di tingkat atas. Kami letakkan di tempat tinggi kerana setiap tahun rumah ini dinaiki air banjir,” katanya.
Beliau berkata, keadaan angin yang kuat pada petang kejadian menyebabkan api merebak dengan pantas ke rumah jiran bersebelahan.
“Tidak sampai 15 minit, kedua-dua rumah hangus terbakar. Saya hanya sempat menyelamatkan sebuah televisyen dan beberapa helai pakaian yang berada di ruang tamu, manakala barang lain tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Sementara itu, Siti Aishah memaklumkan rumahnya musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut.
“Mujur saya bersama tiga anak tiada di rumah ketika kejadian, jadi kami selamat daripada sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui sambil mendukung anak bongsunya yang berusia hampir tiga tahun.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad turut hadir melawat mangsa dan menyampaikan bantuan.

Menurut Kamaruzaman, bantuan segera telah disalurkan melalui Tabung Serambi Mekah bagi meringankan beban mangsa.
Beliau turut menyeru orang ramai yang berkemampuan agar bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mangsa.
“Ini merupakan ujian yang sangat berat buat mereka, namun saya yakin setiap dugaan pasti ada hikmahnya,” katanya.

Tambah beliau, operasi pemadaman melibatkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang yang bertungkus lumus mengawal keadaan sehingga api berjaya dipadamkan.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L