TANGKAK – Kegembiraan tiga sahabat mandi di air terjun Gunung Ledang dekat sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas, petang semalam.
Mangsa, Muhammad Zaffran Abu Samah, 15, dipercayai terjatuh ketika mandi sebelum ditemui tidak sedarkan diri oleh orang awam di lokasi kejadian.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Pegawai Bomba Kanan I Fazlan Maraman, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.27 petang.
“Ketika anggota tiba, mangsa telahpun ditemui orang awam. Pasukan kemudian menjalankan pemantauan di kawasan sekitar sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak berkuasa,” katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.
Operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira sejam kemudian pada jam 6.28 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai lemas.
Kejadian itu menjadi peringatan kepada pengunjung agar sentiasa berwaspada, khususnya ketika melakukan aktiviti air di kawasan rekreasi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L