KUALA LUMPUR – Penganalisis politik dan bekas ahli UMNO, Isham Jalil mendedahkan beliau menerima panggilan daripada seorang rakan lama dalam parti itu yang mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhasrat untuk berdamai dengannya.
Menurut Isham, rakannya memaklumkan Zahid telah mengarahkan penyokongnya supaya menghentikan serangan terhadap beliau, selain memintanya tidak lagi mengkritik UMNO.
Namun begitu, Isham mempersoalkan keikhlasan tawaran tersebut dengan mendakwa serangan terhadapnya sebelum ini berkemungkinan berlaku dengan pengetahuan atau restu pihak tertentu.
“Ini menunjukkan sebelum ini memang wujud usaha tersusun untuk menyerang saya walaupun saya bukan memegang jawatan dalam parti,” katanya.
Mengulas lanjut, Isham menegaskan beliau tidak pernah menyerang UMNO secara langsung, sebaliknya hanya mengkritik apa yang disifatkannya sebagai “UMDAP”, merujuk kepada kerjasama antara UMNO dan DAP dalam kerajaan perpaduan.
Beliau menyatakan akan terus mengkritik gabungan tersebut selagi UMNO tidak kembali kepada perjuangan asalnya.
Isham turut mendakwa wujud strategi politik tertentu yang kononnya melibatkan UMNO bergerak secara “solo” menjelang pilihan raya akan datang bagi meraih semula sokongan pengundi Melayu.
Bagaimanapun, beliau berpendapat langkah sedemikian mungkin sudah terlambat kerana tahap kepercayaan rakyat terhadap parti itu didakwanya telah terjejas.
Dalam pada itu, Isham turut mengucapkan terima kasih kepada rakannya yang menghubungi beliau serta menyampaikan salam kepada Zahid sambil menyindir sama ada pemimpin itu masih mengenalinya.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L