YALA – Seorang lelaki yang dikehendaki pihak berkuasa Thailand atas beberapa kesalahan berkaitan keselamatan maut dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Thailand di kawasan Bukit Sachi, daerah Than To, wilayah Yala, selatan negara itu, awal pagi Isnin.
Pertempuran berlaku antara jam 4 hingga 5 pagi pada 9 November ketika pasukan keselamatan melancarkan operasi mengepung dan menggeledah kawasan berkenaan, kira-kira satu kilometer dari sempadan Thailand-Malaysia.
Operasi di Moo 7, Kampung Kampong Baru, dusun Khok Chang, mukim Mae Wat itu membabitkan anggota unit operasi khas, polis, tentera dan pihak pentadbiran daerah.
Menurut sumber tempatan, operasi berkenaan digerakkan susulan maklumat risikan bahawa seorang individu yang mempunyai waran tangkap berkaitan kes keselamatan dipercayai bersembunyi di kawasan berbukit itu.
Pasukan keselamatan dilaporkan cuba memujuk lelaki berkenaan supaya menyerah diri, namun usaha rundingan tidak berhasil sebelum tercetus pertempuran bersenjata.
Selepas keadaan berjaya dikawal, anggota keselamatan melakukan pemeriksaan di lokasi dan menemukan lelaki terbabit dalam keadaan tidak bernyawa.
Mangsa dikenal pasti sebagai Saudi Tingueseng, yang menurut pihak berkuasa dikehendaki menerusi tiga waran tangkap berkaitan kes keselamatan. Bagaimanapun, butiran kes yang dikaitkan dengannya masih menunggu pengesahan rasmi.
Dalam operasi itu, pasukan keselamatan turut merampas sepucuk senapang M16A2, sepucuk pistol serta beberapa peralatan medan dan kelengkapan ikhtiar hidup untuk tujuan siasatan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pihak berkuasa masih meneruskan operasi di kawasan berkenaan bagi memastikan keadaan terkawal, selain menjalankan siasatan lanjut berhubung pertempuran dan penglibatan individu terbabit.
Kawasan Bukit Sachi yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand turut menjadi tumpuan pihak keselamatan susulan operasi memburu individu yang dikehendaki dalam kes berkaitan keselamatan. – Sumber Wartani Melayu
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
