KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli kini dilihat semakin menjadi beban kepada Pakatan Harapan (PH) serta landskap politik negara, tegas Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Tajuddin Rasdi.
Beliau berkata, Rafizi yang sebelum ini dianggap sebagai antara aset penting PH kini dilihat sukar untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak, khususnya dalam konteks kerajaan campuran yang memerlukan kerjasama erat antara parti-parti politik.
Menurut Tajuddin, pendekatan bekas Menteri Ekonomi itu yang kerap mengemukakan kritikan tanpa disertai cadangan penyelesaian praktikal menimbulkan persoalan mengenai peranan sebenar beliau dalam politik negara.
Beliau turut mendakwa Rafizi tidak lagi mendapat sokongan daripada beberapa parti komponen kerajaan termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), UMNO, Parti Amanah serta sebahagian besar kepimpinan DAP.
“Tiada pihak mahu menjalin hubungan rapat dengan individu yang secara terbuka mengkritik parti sendiri dan presidennya, termasuk ketika menyertai demonstrasi,” katanya dipetik Astro Awani dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Tajuddin turut menyifatkan kritikan Rafizi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kenyataan yang tidak wajar dan kurang beradab.
Beliau berkata, tuduhan Rafizi kononnya Anwar terlalu obses terhadap kuasa dan jawatan Perdana Menteri tidak sepatutnya dilontarkan, memandangkan perjalanan politik Anwar yang panjang serta pernah berdepan tindakan undang-undang dan hukuman penjara sebelum ini.
Dalam masa sama, Tajuddin berpendapat keputusan Rafizi melepaskan jawatan menteri selepas tewas dalam pertandingan parti juga tidak sepatutnya berlaku.
Menurutnya, Rafizi sepatutnya kembali menggerakkan penyokong untuk mencabar jawatan presiden parti secara lebih beradab dan melalui saluran yang sesuai.
Bagaimanapun, beliau mendakwa Rafizi telah menyatakan tidak lagi berminat menjadi pemimpin dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan merancang untuk bertanding secara bebas pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Tajuddin turut berpandangan bahawa Rafizi mungkin berdepan cabaran besar untuk memenangi kerusi sekiranya bertanding sebagai calon bebas atau menubuhkan parti baharu, berikutan kekangan sokongan pengundi.
Menurutnya, perpecahan undi dalam kalangan pengundi bukan Melayu juga berpotensi memberi kelebihan kepada parti-parti besar seperti UMNO, Parti Bersatu dan PAS pada pilihan raya umum akan datang.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L