WASHINGTON – Media arus perdana Amerika Syarikat (AS) dilaporkan tidak mempunyai akses yang banyak mengenai perang Iran, berbeza dengan maklumat terperinci iaitu hampir setiap hari, termasuk menyertai operasi sewaktu perang di Iraq dan Afghanistan.
Sepanjang perang Iran, laporan oleh Pentagon kepada media dilihat dipenuhi retorik, kurang butiran operasi dan konfrontasi terhadap media arus perdana yang cuba mengemukakan persoalan mengenai konflik itu.
Tentera AS dilihat mengambil pendekatan yang jauh berbeza dalam berkomunikasi sepanjang konflik Iran.
“Pentagon mengeluarkan maklumat yang jauh lebih sedikit dan kurang kerap berbanding sebelum ini dan maklumat yang dikeluarkan itu juga… kurang penjelasan,” kata Steve Warren, yang mempunyai 20 tahun pengalaman dalam hal ehwal komunikasi awam, juga bekas kolonel Tentera Darat AS.
Beliau berkata, ketika perang di Iraq, Afghanistan dan operasi menentang kumpulan DAESH, tentera AS kerap mengadakan taklimat media dan mempunyai ‘unit komunikasi khusus yang diberi kuasa untuk berpegang kepada prinsip pendedahan maksimum serta kelewatan minimum’.
Namun, keadaan itu tidak terjadi dalam konflik semasa, dengan beberapa persoalan penting seperti sama ada AS bertanggungjawab terhadap serangan maut ke atas sebuah sekolah rendah di Iran serta rancangan Washington selepas perang di negara itu juga belum dijawab.
Setiausaha Akhbar Pentagon, Kingsley Wilson menafikan perkara itu dan menyatakan, ‘media sudah menerima jumlah maklumat yang sangat banyak daripada Pentagon, sama ada mereka mahu mengakuinya atau tidak’.
Beliau merujuk kepada lima taklimat media yang diadakan sejak perang bermula pada 28 Februari, kemas kini video oleh pemimpin Komando Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper serta hantaran yang mendapat perhatian meluas di akaun media sosial komando itu dan Pentagon.
Dalam konflik terdahulu pegawai kanan dilaporkan turut mengadakan taklimat media termasuk Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth, pegawai tertinggi tentera AS, Jeneral Dan Caine dan Cooper dari CENTCOM.
Ditanya mengapa penting untuk Pentagon memberikan maklumat kepada media dan orang ramai, Warren berkata, tentera perlu menjelaskan ‘bagaimana mereka membelanjakan hampir AS$1 trilion (RM4.17 trilion) yang diamanahkan melalui khazanah negara serta apa yang kita lakukan terhadap anak-anak lelaki dan perempuan AS’.
“Saya sentiasa merasakan ia satu keperluan moral, satu tanggungjawab untuk menjelaskan bagaimana wang itu dibelanjakan dan apa yang kita lakukan dengan rakyat kita,” katanya.
Hegseth dilaporkan turut menggunakan beberapa taklimat media untuk mengkritik ‘berita palsu’ dalam pelaporan konflik itu, khususnya menyasarkan rangkaian penyiaran CNN.
Semalam, bekas hos Fox News itu kelihatan sangat berang dengan laporan saluran berkenaan yang menyatakan, Washington meremehkan keupayaan Iran mengganggu trafik minyak global di Selat Hormuz.
“Langsung tidak masuk akal,” kata Hegseth kepada wartawan sebelum berkata, beliau menantikan sekutu Presiden Donald Trump mengambil alih rangkaian itu.
Pendekatan ketat Pentagon terhadap media sebenarnya sudah bermula sebelum konflik semasa dan dilaksanakan selepas Trump kembali memegang jawatan bagi penggal kedua tahun lalu.
Pegawai pentadbiran Trump mengehadkan pergerakan media di dalam bangunan itu, memaksa beberapa organisasi berita mengosongkan pejabat mereka di Pentagon serta mengurangkan secara drastik jumlah taklimat untuk wartawan.
Organisasi berita kemudian dimaklumkan, mereka perlu menandatangani dasar media yang lebih ketat untuk mengekalkan akses, namun hampir semua menolak dan diminta menyerahkan kad akreditasi Pentagon mereka.
Sekatan lebih terkini turut dilaksanakan, termasuk mengehadkan jurugambar berita daripada menghadiri taklimat – dilaporkan selepas kakitangan Hegseth tidak berpuas hati dengan keadaan dirinya kelihatan dalam gambar berita.
“Kini jauh lebih sedikit wartawan sebenar berada di sekitar Pentagon, yang menjadi masalah besar dari segi ketelusan,” kata Roger Stahl, profesor pengajian komunikasi di Universiti Georgia.
“Ini bermakna fakta yang tidak menyenangkan akan mengambil masa lebih lama untuk didedahkan, jika ia didedahkan. Pentadbiran juga akan berdepan tekanan yang lebih rendah untuk memberikan justifikasi dan pelan yang jelas.
“(Soal Iran) pentadbiran Trump benar-benar tidak telus.
“Ia adalah operasi besar pertama di mana cabang eksekutif tidak pun berusaha membentangkan justifikasi kepada Kongres dan rakyat AS. Dan selepas serangan itu, tiada usaha serius dilakukan untuk memberikan penjelasan yang jelas,” kata Stahl. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L