PETALING JAYA – Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Ketua Wanita parti itu, Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin parti untuk menjawab beberapa tuduhan terhadap mereka.
Ronald yang juga Ketua Whip Bersatu berkata, beliau menerima surat itu pada 28 Februari lalu dan tempoh untuk memberikan penjelasan berakhir hari ini.
Menurutnya, tindakan disiplin itu dipercayai mempunyai kaitan dengan sokongan yang diberikan kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Sama ada saya jawab atau tidak, saya pasti tindakan tetap akan diambil dan saya percaya ia bertujuan menyingkirkan kami kerana menyokong Datuk Seri Hamzah,” katanya.
Ronald menjelaskan, antara punca beliau menerima surat tunjuk sebab kerana menghantar surat kepada Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk memaklumkan sokongan 13 Ahli Parlimen Bersatu kepada Hamzah sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.
Sementara itu, Mas Ermieyati memaklumkan tempoh akhir untuk menjawab surat tunjuk sebab itu juga berakhir hari ini, namun beliau setakat ini belum membuat keputusan untuk memberikan maklum balas.
“Setakat ini saya tidak berhajat untuk menjawabnya. Kita tengoklah macam mana nanti,” katanya yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah serta Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Ronald dan Mas Ermieyati sebelum ini antara pemimpin yang menghadiri satu perhimpunan menyatakan sokongan kepada Hamzah pada 14 Februari lalu, sehari selepas beliau dilaporkan dipecat daripada Bersatu.
Pada 19 Februari lalu, Mas Ermieyati turut mengesahkan beliau telah melepaskan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L