Isham tolak Agenda Rumah Bangsa

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menolak pelawaan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menyertai inisiatif Agenda Rumah Bangsa.

Isham yang dipecat dari UMNO pada 2023 menegaskan, beliau tidak berminat menyertai gagasan berkenaan kerana ia masih berada dalam kerangka kerajaan semasa yang melibatkan kerjasama UMNO dengan DAP.

Pendiriannya itu berbeza dengan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang sebelum ini secara terbuka menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti itu melalui agenda tersebut.

Menurut Isham, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri seharusnya terlebih dahulu bertemu dengan beberapa pemimpin UMNO yang dipecat atau digantung sebelum ini bagi menyatakan permohonan maaf sekiranya benar mahu mereka kembali.

Beliau turut menyebut beberapa nama yang pernah dikenakan tindakan parti termasuk bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, selain Khairy serta bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

“Minta maaf kepada mereka sebelum jemput masuk UMNO semula jika mereka mahu. Bagi saya, tidak perlu jemput atau datang jumpa kerana saya sudah beberapa kali menyatakan, selagi UMNO bekerjasama dengan DAP, saya tidak akan kembali,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali menyertai parti tanpa syarat menerusi inisiatif Rumah Bangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau sebelum ini menyatakan kesediaan untuk kembali ke UMNO dan memaklumkan telah mengarahkan Setiausaha Akhbarnya, Raja Syahrir Raja Abu Bakar, menyediakan draf surat permohonan bagi tujuan tersebut.

Isham dipecat dari UMNO pada 6 Disember 2023 selepas mesyuarat MKT parti itu, susulan tindakannya yang kerap mengkritik kepimpinan parti secara terbuka serta membantah kerjasama dengan DAP.

Dalam pada itu, Isham turut menegaskan Ahmad Zahid perlu merendahkan ego dan bertemu sendiri dengan pemimpin yang dikenakan tindakan parti sekiranya benar-benar ikhlas mahu mereka kembali menyertai UMNO.

Beliau juga mendakwa sukar untuk parti-parti Melayu menyertai inisiatif Rumah Bangsa selagi UMNO masih bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan.

Menurutnya, UMNO juga berdepan cabaran untuk memulihkan semula kepercayaan rakyat menjelang pilihan raya akan datang.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *